AM

Fahmi Ucap Takziah Kepada Keluarga Jurubahasa Isyarat RTM Fadhil Tan

10/04/2026 11:11 AM

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga jurubahasa isyarat Radio Televisyen Malaysia (RTM) Mohammad Fadhil Tan Razman Tan yang meninggal dunia hari ini.

Beliau berkata Allahyarham yang lebih dikenali sebagai Abby Tan, sebelum ini terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 6 Mac lepas.

“Semoga keluarga Allahyarham diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi kehilangan ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Fahmi turut menzahirkan ucapan takziah kepada rakan Abby Tan di RTM, khususnya di Bahagian Berita Ehwal Semasa serta mengajak orang ramai untuk bersama-sama mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Ketika kemalangan pada Mac lepas itu, Abby Tan dalam perjalanan pulang ke kampung ibunya di Ipoh, Perak dengan menunggang motosikal.

Dalam kejadian antara 9 hingga 10 malam itu, Abby Tan dipercayai menjadi mangsa langgar lari melibatkan sebuah lori di kawasan Simpang Pulai, Perak.

Susulan kemalangan tersebut, Allahyarham dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan