EKONOMI

Sunsuria Tingkatkan Pegangan Dalam KL City Gateway Kepada 61 Peratus

10/04/2026 03:20 PM

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Sunsuria Bhd selesai mengambil alih kepentingan ekuiti tambahan sebanyak 41.00 peratus dalam KL City Gateway Sdn Bhd (KLCG) sekali gus meningkatkan pegangan sahamnya daripada 20 peratus kepada 61 peratus.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu berkata pengambilalihan bernilai RM21.46 juta itu dilaksanakan melalui perjanjian jual beli saham (SSPA) dengan Suez Capital Sdn Bhd dan pemegang saham sedia ada yang lain.

Sunsuria sebelum ini mempunyai 20 peratus pegangan dalam KLCG pada Disember 2024.

Selepas penyelesaian transaksi tersebut, Sunsuria kini memegang 61 peratus kepentingan ekuiti dalam KLCG yang mewakili pegangan majoriti.

“Baki pemegang saham mengekalkan sejumlah 39 peratus kepentingan ekuiti secara kolektif dan kekal sebagai pihak dalam perjanjian pemegang saham,” katanya.

KLCG sedang menjalankan projek KL City Gateway iaitu sebuah pembangunan berorientasikan transit (TOD) bersepadu seluas 3.909 hektar di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur.

Fasa pertama pembangunan tersebut mempunyai anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM2.75 bilion.

Fasa ini meliputi empat plot pembangunan dan sebuah kawasan hijau khas yang menggabungkan ruang komersial, kediaman dan kawasan hijau dalam satu pelan induk mesra pejalan kaki dengan ketersambungan yang baik.

KL City Gateway merupakan satu daripada segelintir pembangunan bersepadu berskala besar dalam pusat bandar raya.

Terletak secara strategik di pusat bandar raya Kuala Lumpur, KL City Gateway juga berada berdekatan dengan Menara Kembar Petronas dan Pintasan Saloma.

Pembangunan ini juga mendapat manfaat daripada kebolehcapaian yang kukuh termasuk rancangan akses masuk dan keluar secara terus dari Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) yang akan mempertingkat keterhubungan di seluruh bandar raya.

Ia selaras dengan kedudukannya sebagai “Alamat Global, Ketersambungan Sempurna”.

Penyelesaian pengambilalihan ini membolehkan Sunsuria menyatukan KLCG sebagai anak syarikat dan mengambil peranan yang lebih aktif dalam pelaksanaan projek berkenaan.

Projek tersebut dijangka menyumbang kepada prestasi kumpulan bagi jangka masa sederhana hingga panjang, seiring dengan garis masa pembangunan keseluruhannya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan