EKONOMI

Bank Pembangunan Asia Unjur Ekonomi Malaysia Berkembang 4.6 Peratus Pada 2026

10/04/2026 05:29 PM

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Bank Pembangunan Asia (ADB) mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 4.6 peratus pada 2026 dan 4.5 peratus pada 2027.

Unjuran positif itu disokong oleh penggunaan dan perbelanjaan isi rumah yang kukuh, walaupun risiko penurunan yang ketara masih ada sekiranya konflik di Asia Barat berlarutan.

Pegawai Kanan Kerjasama Serantau Jabatan Asia Tenggara ADB, Dulce Zara berkata eksport berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan elektronik yang meningkat, serta pertambahan dalam pelaburan pusat data akan membantu menyokong ekonomi Malaysia.

“Memandangkan kerajaan kini sedang membiayai pelan pembangunan yang seterusnya (Rancangan Malaysia Ke-13) dan menaikkan unjuran pertumbuhan tahun ini kepada sekitar lima peratus, saya percaya unjuran kami adalah agak munasabah.

"Dan kami (sudah) melihat potensi kenaikan untuk negara ini,” katanya dalam Webinar Impak Asia, bersempena pelancaran Tinjauan Pembangunan Asia (ADO) untuk April 2026 hari ini.

ADO untuk April 2026 menerangkan bagaimana ekonomi yang bergerak pantas (seperti Malaysia) dijangka berkembang dan apakah risiko yang boleh menjejaskannya.

Bagaimanapun, Dulce Zara memberi amaran bahawa disebabkan ketegangan yang berterusan di Asia Barat, beberapa kerentanan akan kekal, dengan kenaikan harga minyak menyebabkan kerajaan menanggung beban subsidi yang lebih tinggi, sekali gus menjejaskan kewangan awam.

Sementara itu, laporan ADO menyatakan inflasi akan kekal terkawal, dengan unjuran pada 1.8 peratus untuk tahun ini dan 1.9 peratus pada 2027 memandangkan kesan limpahan daripada pembaharuan dasar fiskal berjaya dibendung.

“Beberapa tekanan kenaikan harga mungkin berpunca daripada pelarasan tarif dan kesan tertunda daripada kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan.

“Selain itu, kenaikan harga minyak boleh meningkatkan kos pengeluaran dan akhirnya menyebabkan harga barangan menjadi lebih tinggi,” menurut laporan itu.

Berhubung mata wang, ringgit dijangka mengukuh pada purata 4.00 berbanding dolar AS, mencerminkan keyakinan yang lebih tinggi terhadap ekonomi domestik dan iklim pelaburan.

Sementara itu, dalam usaha membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, laporan berkenaan menyatakan Malaysia memerlukan strategi yang menyeluruh untuk mengatasi kekangan struktur.

Langkah-langkah yang boleh diambil antaranya, memperkukuh kerjasama industri–pendidikan, memperluas perkongsian awam-swasta untuk membiayai program latihan, memberi insentif cukai, menyediakan biasiswa bersasar untuk wanita dan pekerja sektor tidak formal, serta membangunkan laluan kerjaya yang kompetitif bagi mengurangkan pengaliran keluar bakat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan