JENAYAH & MAHKAMAH

KPDN Johor Tahan Lelaki Isi RON95 Dalam Kenderaan Asing

10/04/2026 06:19 PM

JOHOR BAHRU, 10 April (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor menahan seorang lelaki kerana mengisi petrol RON95 ke dalam tangki sebuah kenderaan berpendaftaran asing dalam penguatkuasaan di sekitar bandar raya ini, semalam.

Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo berkata kejadian itu dikesan pegawai penguat kuasa ketika menjalankan pemeriksaan statik di sebuah stesen minyak kira-kira pukul 10 malam.

"Pemeriksaan lanjut dijalankan termasuk semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak, resit pembelian serta rakaman percakapan pekerja stesen minyak. Hasil siasatan awal mengesahkan transaksi tersebut melibatkan petrol RON95," katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, KPDN Johor menyita sebuah kenderaan, rakaman CCTV, salinan resit pembelian serta dokumen berkaitan, selain menahan seorang lelaki warga asing berumur lingkungan 50-an yang memandu kenderaan terbabit bagi membantu siasatan.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (AKB 1961) atas kesalahan membeli barang kawalan petrol RON95 menggunakan kenderaan berpendaftaran asing.

Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda hingga RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan berulang denda boleh mencecah RM3 juta atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya.

Bagi syarikat pula, denda boleh dikenakan hingga RM2 juta dan meningkat hingga RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

KPDN Johor menegaskan komitmen berterusan dalam memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras penyelewengan barang kawalan, khususnya petrol RON95, bagi memastikan subsidi kerajaan dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia.

Orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan penyelewengan bahan api melalui saluran rasmi KPDN termasuk WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan, talian 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan