KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Amalan kitar semula perlu dijadikan budaya dalam kalangan rakyat Malaysia bagi menangani isu pencemaran alam sekitar, terutama pencemaran plastik yang semakin membimbangkan, kata isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata inisiatif pada peringkat komuniti seperti penubuhan pusat kitar semula berasaskan sukarelawan, wajar dijadikan model untuk dicontohi di seluruh negara.
Dr Wan Azizah berkata beliau tertarik dengan usaha pusat kitar semula yang digerakkan sukarelawan, kerana ia penting dalam usaha menangani pencemaran plastik, khususnya di kawasan pantai dan sungai.
“Jadi saya alu-alukan (penubuhan) pusat kitar semula (secara sukarelawan), untuk kita sampaikan kepada setiap warga Malaysia bahawa ini adalah antara cara kita menjaga persekitaran kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Persatuan Kebajikan Sayangi Rakyat Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Dr Wan Azizah berkata usaha itu perlu diteruskan secara konsisten agar tidak terhenti pada peringkat awal akibat kekurangan sukarelawan atau pemantauan, sebaliknya berkembang menjadi gerakan berterusan yang disokong masyarakat.
“Harapan saya agar ini akan diteruskan dan diperbaiki, supaya kitar semula menjadi satu budaya demi menjamin masa hadapan anak-anak kita dan juga ekosistem negara,” katanya.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata Dewan Persatuan Kebajikan Sayangi Rakyat Kuala Lumpur yang sebelum ini terbiar telah dinaik taraf dengan peruntukan RM100,000, untuk dijadikan pusat aktiviti komuniti termasuk program berkaitan alam sekitar.
Terdahulu, Dr Wan Azizah merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) ke-42 Sekolah Kebangsaan Bandar Tun Razak 1 di sini, serta dewan baharu sekolah berkenaan.
Beliau dalam ucapannya berkata peranan PIBG perlu terus diperkukuh sebagai pemacu utama dalam membentuk generasi masa depan yang berkualiti.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara ibu bapa dan pihak sekolah dalam membentuk sahsiah serta mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif.
“Usaha membangunkan generasi masa hadapan memerlukan pengorbanan serta komitmen berterusan semua pihak, khususnya ibu bapa yang memainkan peranan penting dalam mencorakkan kehidupan anak-anak,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial