KOTA BHARU, 11 April (Bernama) -- Pemilik perniagaan terkenal Restoran Nasi Ulam Cikgu di Kampung Kraftangan, di sini Rahaida Abdul Hamid, 50, meninggal dunia selepas rebah ketika menunaikan solat isyak di rumahnya, semalam.
Suaminya Muhamad Hussin, 51, berkata Allahyarham rebah dan mengalami kekejangan sebelum tidak sedarkan diri semasa mereka serta anak bongsu menunaikan solat secara berjemaah.
“Selepas solat maghrib, arwah berehat di bilik kerana cuaca panas sebelum kami menunaikan solat isyak. Ketika rakaat pertama, arwah tiba-tiba rebah,” katanya.
Muhamad berkata Allahyarham dibawa ke sebuah hospital swasta sebelum disahkan meninggal dunia pada 9.30 malam.
Jenazah Rahaida dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubur Tambak, Kampung Pasir Kota, di sini pada 10.15 pagi tadi.
Rahaida yang merupakan anak pengasas Restoran Nasi Ulam Cikgu Abdul Hamid Idris, meletak jawatan sebagai guru untuk meneruskan legasi perniagaan keluarga yang terkenal di Kelantan termasuk di Kampung Kraftangan dan Taman Tengku Anis, Pengkalan Chepa.
Allahyarham meninggalkan suami serta lima anak berusia antara 13 hingga 26 tahun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial