KOTA BHARU, 11 April (Bernama) -- Sebanyak 3,000 peserta daripada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Bukit Kechik, Tanah Merah kini mula menikmati hasil apabila tanaman nanas jenis MD2 yang diusahakan secara komuniti berjaya mengeluarkan buah.
Pengerusi KRT Bukit Kechik Mohd Noor Hassan berkata projek penanaman di kawasan seluas tiga hektar itu kini menjadi antara sumber ekonomi penting kepada penduduk setempat.
Beliau berkata kawasan tanaman telah dibahagikan kepada tiga zon bagi memastikan pengeluaran nanas dapat dilakukan secara berterusan sepanjang tahun.
“Setiap musim penuaian, kami mampu menjana pendapatan kira-kira RM13,000 hasil jualan nanas MD2 yang mendapat permintaan tinggi.
“Nanas ini dijual pada harga RM6 sekilogram, dengan berat setiap buah antara satu hingga lebih dua kilogram,” katanya kepada pemberita di KRT Bukit Kechik bersempena dengan Program Minggu Perpaduan Zon Timur di Lembah Sireh di sini, hari ini.
Selain penjualan buah segar, beliau berkata pihak KRT turut mempelbagaikan sumber pendapatan melalui penghasilan jus nanas serta produk berasaskan nanas seperti colek yang mendapat sambutan menggalakkan.
“Kami juga menjual jus nanas dan sulur nanas sebagai benih pada harga RM1.50 setiap satu kepada individu yang berminat menceburi penanaman nanas,” katanya.
Mohd Noor berkata projek berkenaan bukan sahaja meningkatkan pendapatan komuniti, tetapi juga menggalakkan penglibatan aktif penduduk dalam aktiviti ekonomi secara bersama.
Beliau berkata majoriti penduduk di Bukit Kechik merupakan petani, dan inisiatif tersebut dilihat bertepatan dalam membantu meningkatkan taraf ekonomi mereka.
Projek berkenaan, katanya, turut dipamerkan kepada orang ramai bersempena dengan Minggu Perpaduan Zon Timur yang berlangsung selama tiga hari sebagai platform memperkenalkan hasil komuniti serta memperkukuh semangat kerjasama dalam kalangan penduduk.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial