AM

Waspada Peralihan Monsun Aktif - Ahmad Zahid

12/04/2026 12:55 PM

KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Orang ramai diingatkan supaya lebih berwaspada susulan negara kini memasuki fasa peralihan monsun aktif yang dijangka membawa cuaca lebih lembap dalam tempoh seminggu akan datang.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata berdasarkan jangkaan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), keadaan cuaca berpotensi disertai ribut petir dan hujan lebat di kebanyakan kawasan, khususnya di barat dan pedalaman Semenanjung termasuk Johor dan Melaka, selain pedalaman Sabah dan Sarawak.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata perubahan cuaca itu sedikit sebanyak membantu mengurangkan cuaca panas yang dirasai sebelum ini, namun beberapa kawasan di utara serta pedalaman Semenanjung masih berisiko mengalami suhu yang lebih tinggi.

“Pada masa sama, kita perlu lebih berwaspada kerana keadaan ini boleh membawa kepada hujan lebat, angin kencang dan ribut petir dalam tempoh yang singkat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid berkata Johor dan Melaka dijangka mengalami hujan dan ribut petir pada waktu pagi, petang dan malam bergantung kepada lokasi, sekali gus menuntut kesiapsiagaan berterusan daripada semua pihak.

Timbalan Perdana Menteri turut melahirkan kebimbangan terhadap paras air empangan di kedua-dua negeri berkenaan yang masih berada pada tahap membimbangkan berikutan taburan hujan yang tidak sekata sejak kebelakangan ini.

Sehubungan dengan itu, Operasi Pembenihan Awan (OPA) akan dilaksanakan tertakluk kepada keadaan atmosfera yang sesuai sebagai usaha meningkatkan taburan hujan di kawasan tadahan empangan yang kritikal.

“Insya-Allah, kami akan terus memantau keadaan semasa dan melakukan ikhtiar terbaik bagi memastikan kesejahteraan rakyat serta kelangsungan bekalan air sentiasa terjamin,” katanya.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan