AM

Sabah Perkukuh Produk Pelancongan Budaya Melalui Pusat Kebudayaan Murut

12/04/2026 06:50 PM

KOTA KINABALU, 12 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sabah melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri terus komited memperkasakan pelancongan berasaskan warisan menerusi pelaksanaan Projek Meningkatkan Produk Pelancongan di Pusat Kebudayaan Murut Sabah, Tenom (PKMST).

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata projek itu merupakan inisiatif strategik yang memberi penekanan kepada pemeliharaan identiti budaya masyarakat Murut, di samping meningkatkan daya tarikan pelancongan negeri secara mampan.

“Pendekatan pembangunan projek ini berteraskan prinsip keaslian, penceritaan sejarah serta pengalaman ruang yang imersif, bagi memastikan pengunjung bukan sahaja melihat, tetapi benar-benar menghayati warisan budaya masyarakat Murut,” katanya dalam kenyataan selepas melawat projek itu hari ini.

Projek yang bermula pada 6 Mei 2025 dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh setahun dengan kos kontrak berjumlah RM825,559.60.

Jafry berkata antara komponen utama itu ialah pembinaan “Rumah Tengkorak” yang bakal menjadi bangunan ikonik dan tarikan utama di kawasan berkenaan. 

 “Bangunan ini akan berfungsi sebagai pusat interpretasi budaya yang menempatkan pameran sejarah, artifak tradisional serta ruang tayangan bagi memperkenalkan asal usul masyarakat Murut kepada pengunjung.

“Reka bentuk Rumah Tengkorak ini diterjemahkan secara simbolik sebagai lambang sejarah dan warisan, dengan susun atur ruang yang membawa pengunjung melalui satu perjalanan penceritaan budaya yang tersusun dan bermakna,” katanya.

Selain itu, projek berkenaan turut merangkumi pembangunan 10 unit pondok kuburan yang mewakili pelbagai subetnik Murut seperti Murut Tagol, Timugon dan Tangara dengan setiap struktur direka berasaskan identiti seni bina tersendiri.

Jafry berkata pembangunan itu bukan sahaja berperanan sebagai produk pelancongan, malah sebagai platform pendidikan dan pemahaman sejarah yang mampu memperkukuh identiti budaya tempatan serta memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat melalui aktiviti pelancongan dan program interpretasi budaya.

“Saya yakin projek ini akan menjadi satu lagi ikon pelancongan budaya yang signifikan di Sabah, khususnya di Tenom, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai destinasi pelancongan berasaskan budaya dan warisan yang bertaraf dunia,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan