AM

Saintis UMS Temukan Spesis Kulat 'Bertanduk' Pertama Di Dunia

12/04/2026 07:25 PM

LAHAD DATU, 12 April (Bernama) -- Sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) mencipta sejarah dalam dunia sains apabila menemukan spesis kulat baharu yang menyerupai tanduk di Kawasan Pemuliharaan Danum Valley di Lahad Datu, baru-baru ini.

Spesis yang dinamakan Pleurocordyceps cornusynnemata itu disahkan sebagai penemuan pertama seumpamanya di dunia menerusi penerbitan dalam jurnal taksonomi antarabangsa Phytotaxa, semalam.

Menurut Prof Madya Dr Jaya Seelan Sathiya Seelan dari Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) UMS, kulat berkenaan mempunyai struktur fizikal menyerupai tanduk, sekali gus membezakannya daripada 26 spesies lain dalam genus Pleurocordyceps yang sebelum ini direkodkan di China, Thailand dan Jepun.

“Dalam kajian sama, pasukan turut merekodkan dua lagi spesies iaitu Pleurocordyceps aurantiaca dan Pleurocordyceps nipponica yang merupakan rekod baharu di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kajian berkenaan diketuai beliau bersama dua pelajar pascasiswazah Muhammad Shahbaz (PhD) dan Firdza Zulkarnain Mohadden (Sarjana), serta penyertaan penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Dr Yap Jing Wei dan pelajar Jeremiah Sia Yiao Rong, selain seorang saintis warganegara Elyse Yang.

Spesimen kulat itu kini disimpan di pusat rujukan BORNEENSIS IBTP UMS sebagai bahan rujukan saintifik pada masa akan datang.

Sementara itu, Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr  Kasim Mansor dalam kenyataan sama berkata penemuan berkenaan membuktikan keupayaan saintis tempatan menerajui penyelidikan berimpak tinggi di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata kejayaan itu turut selari dengan aspirasi universiti melalui gagasan The Brain of Borneo dalam memperkasa penerokaan serta pemuliharaan khazanah biodiversiti Sabah.

Dalam pada itu, Pengarah IBTP Prof Madya Dr Fiffy Hanisdah Saikim pula menyifatkan pencapaian itu sebagai hasil pembangunan bakat penyelidik muda, selain membuktikan hutan hujan tropika Sabah masih kaya dengan spesies yang belum diterokai sepenuhnya.

Kajian berkenaan menerima sokongan geran UMSGREAT serta kerjasama Jabatan Perhutanan Sabah dan Yayasan Sabah melalui Projek Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan