BUKIT MERTAJAM, 12 April (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan terus membantu serta menjaga kebajikan bekas atlet lumba jalan kaki negara G. Saravanan yang pernah memenangi pingat emas di Sukan Komanwel 1998.
Saravanan, 56, menghidap 'Motor Neuron Disease’ (MND), iaitu penyakit yang menjejaskan sel saraf motor di otak dan saraf tunjang sejak 2021, dan keadaannya dilaporkan semakin merosot sejak tahun lepas.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata KBS tidak akan mengabaikan kebajikan atlet veteran yang pernah mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa, termasuk sebagai pemenang pingat emas pertama Malaysia di Sukan Komanwel.
“Pada hari ini, kita bersama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), KBS dan pemimpin komuniti setempat menziarahi Saravanan serta menyampaikan sumbangan kewangan bagi meringankan beban ditanggung akibat penyakit MND.
“KBS bersama Yakeb sedang meneliti keperluan semasa dan kos rawatan bekas atlet itu, termasuk fisioterapi, rawatan perubatan serta perbelanjaan bulanan bagi memastikan bantuan disalurkan mencukupi dan dapat membantu keluarganya,” katanya kepada pemberita selepas melawat Saravanan di kediaman bekas atlet jalan kaki itu di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Yakeb Datuk Ahmad Shapawi Ismail.
Saravanan kini hanya bergantung kepada bantuan alat pernafasan, tidak boleh bercakap, tidak boleh berjalan serta hanya mampu makan melalui tiub dan memerlukan penjagaan rapi daripada ahli keluarga.
Sementara itu, Ahmad Shapawi berkata Yakeb telah menyalurkan beberapa bantuan kepada Saravanan sejak beliau disahkan menghidap penyakit berkenaan, termasuk sumbangan RM500 sebulan bagi meringankan beban keluarga.
“Yakeb telah menyalurkan lebih RM30,000 kepada Saravanan setakat ini dan kami sentiasa mengikuti perkembangan beliau serta berusaha membantu meringankan beban keluarganya mengikut kemampuan,” katanya.
Isterinya, M. Sasikala, 53, berkata keadaan suaminya kini stabil dan menunjukkan sedikit perkembangan positif, namun masih memerlukan bantuan alat pernafasan pada waktu malam.
“Suami mula menunjukkan simptom sejak 2021 apabila tiba-tiba tidak dapat bercakap seperti biasa. Selepas itu pergerakan turut terjejas sehingga sukar berjalan,” katanya.
Beliau berkata Saravanan sebelum ini merupakan jurulatih di Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang, namun terpaksa berhenti kerja sepenuhnya akibat keadaan kesihatan yang merosot.
Katanya beliau kini bersama tiga anak mereka bergilir-gilir menjaga Saravanan sepenuh masa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial