JENAYAH & MAHKAMAH

Kunjungan Kapal TLDM Tingkat Sektor Pelancongan Labuan

13/04/2026 05:45 PM

LABUAN, 13 April (Bernama) -- Perbadanan Labuan (PL) mengalu-alukan kunjungan tiga kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pelabuhan Labuan, sambil menyifatkannya sebagai suntikan positif terhadap sektor pelancongan.

Ketua Pegawai Eksekutif PL Rithuan Ismail berkata kehadiran KD Kelantan, KD Rencong dan KD Serang akan meningkatkan daya tarikan pulau bebas cukai itu, di samping mengeratkan keterlibatan orang awam dengan pasukan pertahanan maritim negara.

“Ketibaan kapal-kapal ini menawarkan tarikan yang unik kepada penduduk dan pengunjung sekali gus mengukuhkan kedudukan Labuan sebagai destinasi pelancongan maritim,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata inisiatif berkenaan dilaksanakan sempena sambutan ulang tahun TLDM ke-92 dengan orang ramai berpeluang menaiki kapal itu pada Sabtu dan Ahad ini, bermula 8 pagi hingga 6 petang.

Bagi memastikan kelancaran pergerakan pergi dan pulang di pelabuhan, pengunjung disediakan bas di Dataran Labuan.  

Rithuan berkata pihaknya akan bekerjasama dengan TLDM, Lembaga Pelabuhan Labuan dan agensi berkaitan bagi memastikan kelancaran penyelarasan sepanjang program berlangsung.

Beliau berkata selain lawatan di atas kapal, aktiviti lain disediakan ialah pameran, jualan cenderamata TLDM, pameran kerjaya serta menikmati pengalaman di restoran terapung.

Inisiatif seumpama itu, katanya bukan sahaja mempromosikan pelancongan tetapi juga menjana manfaat ekonomi kepada perniagaan tempatan termasuk pengendali pengangkutan, penjual makanan serta peniaga kecil.

Kesemua kapal berkenaan dijadual berlabuh di Labuan Liberty Wharf dari 15 hingga 20 April ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan