PUTRAJAYA, 14 April (Bernama) -- Penggunaan perkhidmatan kargo rel negara terus menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah penghantaran kargo melalui Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) mencatatkan peningkatan antara 10 hingga 20 peratus bagi Januari hingga Mac tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Azlan Shah Al Bakri berkata peningkatan itu diukur berdasarkan indikator jumlah muatan dan ukuran untuk kapasiti kargo berasaskan saiz kontena - unit bersamaan 20 kaki (TEU) mencerminkan trend pertumbuhan berterusan dalam sektor logistik rel.
Beliau berkata walaupun krisis semasa memberi cabaran kepada operasi logistik, prestasi penghantaran kargo melalui rel kekal dalam landasan positif dan tidak menunjukkan tanda penurunan.
"Sejak krisis, kita juga melihat peningkatan walaupun terdapat cabaran dan perubahan tertentu dari segi operasi kargo. Namun hakikatnya, kapasiti muatan dan TEU kita masih berada dalam trend positif.
"Berbanding dengan tahun lepas dan tahun ini mencatatkan peningkatan bagi Januari hingga Mac. Justeru, secara keseluruhannya, prestasi masih positif," katanya pada sidang media Kempen Penggunaan Rel Bagi Menangani Peningkatan Kos Bahan Api, di sini hari ini.
Beliau berkata perkembangan tersebut mencerminkan keberkesanan usaha berterusan untuk menggalakkan peralihan pengangkutan barangan daripada jalan raya kepada rel, yang bertujuan meningkatkan kecekapan logistik serta mengurangkan kesesakan dan risiko kemalangan melibatkan lori.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata penggunaan perkhidmatan kargo KTMB kini menunjukkan peningkatan berterusan hasil pelaksanaan dasar kerajaan yang menggalakkan peralihan pengangkutan barangan daripada jalan raya kepada rel, dan bukan semata-mata disebabkan oleh krisis semasa.
Beliau berkata peningkatan tersebut telah mula direkodkan sejak tahun lalu selaras dengan kempen penguatkuasaan terhadap isu lebihan muatan lori serta usaha memperkukuh penggunaan pengangkutan rel dalam sistem logistik negara.
Menurutnya, dasar menggalakkan peralihan pengangkutan barangan dari jalan raya ke rel telah memberi kesan positif terhadap pertumbuhan penggunaan perkhidmatan kargo kereta api.
"Peningkatan kargo KTMB memang telah berlaku kerana dasar yang dilaksanakan, bukan semata-mata disebabkan oleh krisis. Sejak tahun lepas kita melaksanakan kempen terhadap lebihan muatan dan menggalakkan peralihan daripada jalan raya kepada rel," katanya.
Menurut beliau, walaupun peningkatan telah direkodkan, masih banyak usaha perlu dilaksanakan bagi meningkatkan lagi permintaan terhadap perkhidmatan kargo tren pada masa hadapan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial