KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Program (PAC) Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menumpukan pemerkasaan strategi penyelidikan dan pembangunan (R&D) ditengah-tengah ketidakstabilan geopolitik khususnya di Asia Barat.
Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam berkata ketidakstabilan geopolitik telah memberi kesan rantaian kepada pelbagai sektor termasuk pasaran minyak dan lemak global, sekali gus menuntut pendekatan lebih strategik dan berasaskan sains dalam memperkukuh industri.
“Sehubungan itu, PAC berperanan penting dalam menyelaras hala tuju R&D MPOB agar selari dengan keperluan industri dan perkembangan global.
“Pendekatan ini merangkumi keseluruhan rantaian nilai sawit, daripada huluan hingga hiliran, dengan penekanan kepada inovasi, aplikasi teknologi serta impak sosio-ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mesyuarat PAC MPOB 2026 yang berlangsung selama empat hari mulai 13 April lepas turut membincangkan pendekatan R&D strategik MPOB bagi menyelaras inisiatif dan memperkasa daya saing industri sawit negara selari dengan mandat Kerajaan di bawah kerangka Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030).
Antara pelaksanaan di bawah hala tuju DAKN meliputi inisiatif pelaksanaan pensijilan mandatori Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO 2.0), penanaman semula kelapa sawit di sektor pekebun kecil dengan perbelanjaan sekitar RM171 juta, pembangunan sektor bahan api penerbangan mampan serta pemerkasaan integrasi teknologi automasi melalui kecerdasan buatan (AI) dan dron.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial