JENAYAH & MAHKAMAH

21 Ahli Kumpulan Kongsi Gelap Ditahan Di Sarawak

16/04/2026 07:03 PM

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Polis menahan 21 ahli kumpulan kongsi gelap yang disyaki terbabit dalam jenayah kekerasan di sekitar Kota Samarahan, Kuching, Simunjan dan Padawan, Sarawak menerusi Ops Pusak Merah, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata semua suspek lelaki berusia antara 19 hingga 44 tahun itu ditahan di beberapa lokasi berasingan dalam operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Khas (D9), JSJ Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

“Operasi ini menyasarkan kumpulan yang bergiat aktif melakukan kesalahan jenayah kekerasan di sekitar daerah berkenaan sejak 2024 hingga kini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata semakan awal polis mendapati semua suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk merusuh, mendatangkan cedera parah, samun, khianat dan kesalahan berkaitan dadah.

Katanya semua suspek direman selama enam hari bermula semalam hingga 20 April bagi membantu siasatan.

Beliau berkata suspek disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan memiliki senjata, serta Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata.

“Mereka juga disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana pemerasan, Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera semasa melakukan rompakan, serta Seksyen 427 dan Seksyen 436 Kanun Keseksaan,” katanya.

Menurut Kumar, operasi itu merupakan usaha proaktif JSJ dalam melumpuhkan sindiket yang dipercayai terbabit dalam aktiviti pemerasan dan rusuhan menggunakan senjata sehingga menimbulkan kegusaran kepada penduduk setempat.

“Usaha mengesan serta menangkap beberapa individu dipercayai terbabit dalam rangkaian kumpulan yang masih bebas sedang giat dijalankan,” katanya.

Beliau menegaskan tindakan berterusan akan diambil terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat dalam aktiviti jenayah, gangsterisme dan jenayah kekerasan bagi memastikan keamanan serta kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.

Beliau turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu membanteras kegiatan jenayah daripada terus berleluasa.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan