JENAYAH & MAHKAMAH

Mahkamah Tinggi Kekal Hukuman Penjara Lelaki Guinea Miliki 1,189 Keping Wang Kertas Palsu

16/04/2026 07:21 PM

PUTRAJAYA, 16 April (Bernama) -- Mahkamah Tinggi Shah Alam mengekalkan sabitan dan hukuman penjara empat tahun terhadap seorang warganegara Guinea kerana memiliki 1,189 keping wang kertas RM100 palsu.

Hakim Roszianayati Ahmad membuat keputusan tersebut setelah menolak rayuan Lamah Moriba terhadap sabitan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen.

Lamah, 41, dituduh memiliki 1,189 keping wang kertas RM100 palsu di tempat letak kereta sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor pada 6 petang, 5 Mac 2020.

Dalam alasan penghakiman dimuat naik di laman Badan Kehakiman pada 10 April lepas, Roszianayati berkata beliau mendapati sabitan terhadap Lamah adalah selamat dan pihak pendakwaan berjaya membuktikan semua intipati pertuduhan di bawah Seksyen 489C Kanun Keseksaan.

Pada 14 Ogos 2024, Mahkamah Sesyen mendapati Lamah bersalah terhadap tuduhan tersebut dan menjatuhkan hukuman penjara empat tahun. Lamah kemudian mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan fakta kes, Lamah ditahan polis di tempat letak kereta sebuah pusat membeli-belah selepas pengadu membuat laporan polis. Perayu cuba melarikan diri, namun berjaya ditangkap.

Setelah disoal siasat, perayu memberi tunjuk arah kepada polis sebuah kereta yang diletakkan di tempat letak kereta hotel berkenaan, dan wang palsu ditemui disimpan dalam sebuah beg plastik di ruang kaki tempat duduk penumpang hadapan kenderaan itu.

Pengurus Bahagian Perolehan dan Pemalsuan Mata Wang Bank Negara Malaysia dalam keterangannya mengesahkan 1,189 keping wang kertas RM100 adalah palsu.

Dalam alasan penghakiman, Roszianayati berkata tindakan perayu membawa polis ke lokasi kereta serta menunjukkan beg plastik yang mengandungi wang palsu membuktikan milikan dan pengetahuan perayu terhadap wang palsu tersebut.

Beliau berkata hukuman empat tahun penjara yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen adalah setimpal dengan kesalahan dilakukan olen perayu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan