JOHOR BAHRU, 18 April (Bernama) -- Karnival Jom Masuk Universiti (JMU) 2026 Zon Selatan menyasarkan kehadiran lebih 35,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjurannya bermula hari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini.
Program anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang merupakan sebahagian daripada siri jelajah JMU di 10 zon utama seluruh negara dari Januari hingga April tahun ini, melibatkan penyertaan universiti awam dan swasta, politeknik, kolej komuniti serta institusi latihan kemahiran awam (ILKA).
JMU Zon Selatan yang meliputi Johor, Melaka dan Negeri Sembilan dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai penganjur akan memperkukuh peranannya dalam pembangunan pendidikan tinggi khususnya dalam bidang sains, kejuruteraan dan teknologi.
Menerusi kenyataan hari ini, UTM memaklumkan karnival berkenaan menyasarkan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setaraf, ibu bapa serta masyarakat umum, dengan pengisian meliputi pameran pendidikan, kaunter konsultasi pengambilan pelajar serta sesi perkongsian kerjaya.
Karnival itu menyediakan platform sehenti bagi maklumat pendidikan tinggi serta membantu pelajar membuat keputusan pengajian yang lebih tepat, selaras aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) untuk memastikan akses pendidikan yang inklusif dan menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat.
Pelbagai pendekatan interaktif turut diperkenalkan sepanjang penganjuran termasuk UTM Showcase: Campus Experience, bual bicara, Student Voices Live, Booth Spotlight Tour, ceramah motivasi, audio siar, cabutan bertuah serta program Pasport JMU yang menggalakkan penyertaan aktif pengunjung.
Karnival turut dimeriahkan dengan penyertaan 20 trak makanan yang menjadikan suasana lebih santai dan mesra pengunjung.
JMU Zon Selatan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof Dr Zainal Amin Ayub dan dihadiri Naib Canselor UTM Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim hari ini.
Mohd Shafry dalam kenyataan sama berkata institusi pendidikan tinggi perlu memainkan peranan penting dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga adaptif, inovatif dan berdaya tahan.
Menurutnya penganjuran JMU 2026 membuktikan kerjasama strategik antara pelbagai pihak mampu memberi impak besar kepada masyarakat.
“Pengunjung atau pelajar perlu menggunakan sepenuhnya peluang yang ada sebagai ruang untuk bertanya dan meneroka bagi membuat keputusan terbaik dalam menentukan hala tuju pendidikan serta kerjaya pada masa hadapan,” katanya.
Jelajah JMU 2026 bakal diteruskan ke dua lokasi iaitu Zon Sarawak di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) serta Zon Tengah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Perak, masing-masing pada 25 dan 26 April ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial