EKONOMI

Jaminan Pembiayaan RM5 Bilion, Kelonggaran E-Invois Bantu PMKS Susulan Krisis Tenaga Global - PM Anwar

20/04/2026 05:39 PM

PUTRAJAYA, 20 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan beberapa langkah segera bagi meringankan tekanan perniagaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) susulan krisis tenaga global dan konflik Asia Barat antaranya peruntukan jaminan RM5 bilion di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP).

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata peruntukan itu bagi menyokong PMKS terjejas termasuk pembinaan, pertanian dan agri-makanan, logistik dan pengangkutan serta pelancongan melalui liputan pembiayaan sehingga 80 peratus daripada 70 peratus sebelum ini dan tempoh jaminan sehingga 10 tahun berbanding tujuh tahun.

Menurut Perdana Menteri, SJPP juga akan bekerjasama dengan bank untuk memudahcara penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman SJPP serta bantuan bayaran balik secara bersasar.

Anwar berkata setakat ini, skim SJPP terus menjadi antara instrumen utama kerajaan dalam  menyokong kelangsungan PMKS, dengan lebih 50,000 PMKS telah dibantu melalui  jaminan pembiayaan melebihi RM50 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2025.

"Dalam keadaan tekanan global yang kian meruncing, Kerajaan MADANI tidak berlengah sebaliknya setiap tindakan segera digerakkan berpandu maklum balas secara terus daripada pemain industri, bagi memastikan setiap langkah yang diambil benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan.

"Tempias konflik Asia Barat kini memberi kesan meluas kepada ekonomi global melalui gangguan bekalan tenaga, peningkatan kos logistik dan insurans, serta tekanan berterusan terhadap harga input yang ditanggung peniaga, pengilang, peladang dan pemain industri lain," kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Anwar berkata kerajaan melaksanakan pelonggaran e-invois dengan tempoh peralihan tambahan selama 12 bulan bagi pelaksanaan e-Invois Fasa 4 sehingga 31 Dis 2027 untuk perniagaan dengan jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta, termasuk kebenaran mengeluarkan e-invois disatukan tanpa penalti dalam tempoh itu.

Beliau berkata kerajaan turut mempertimbangkan secara interim terhadap pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas pengimportan semula barangan buatan Malaysia yang tidak dapat melengkapkan proses eksport akibat gangguan konflik sehingga 31 Disember ini.

“Kerajaan akan terus memantau dan mengkaji keperluan untuk memudahcara layanan cukai bagi perniagaan yang terkesan daripada konflik Asia Barat,” kata Perdana Menteri.

Perdana Menteri menegaskan, dalam menghadapi tekanan global yang berpanjangan, kerajaan akan terus bertindak proaktif bagi memastikan ekosistem perniagaan kekal berdaya tahan dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan. 

"Kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama dengan institusi kewangan, pemain industri dan usahawan agar setiap langkah yang diambil benar-benar membantu mengekalkan operasi perniagaan serta melindungi pekerjaan rakyat.

“Ini bukan situasi sementara, kita perlu bersedia untuk perubahan yang berperingkat dan berpanjangan," kata Anwar.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan sama, langkah-langkah yang diumumkan itu adalah sebahagian daripada gerak kerja berterusan Kerajaan MADANI sejak awal krisis, dengan Perdana Menteri pada minggu lepas menyantuni PMKS Bumiputera dan hari ini diperluaskan kepada komuniti Cina dan India.

MOF memaklumkan, pendekatan itu sekali gus menegaskan tiada segmen ekonomi dipinggirkan dan setiap suara didengar serta dibantu secara bersasar,

Menurutnya, sejajar dengan kerangka Ekonomi MADANI, kerajaan bertekad untuk terus memperkukuh daya tahan ekonomi negara dalam menghadapi ketidaktentuan global sambil memastikan bantuan disampaikan secara bersasar kepada mereka yang paling memerlukan

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan