AM

9,007 Penduduk Terjejas Akibat Kebakaran Di Sandakan - Polis

19/04/2026 04:15 PM

SANDAKAN, 19 April (Bernama) -- Sebanyak 9,007 penduduk terjejas dalam kebakaran besar rumah atas air Kampung Bahagia di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP George Abd Rakman berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu pada 1.30 pagi, sebelum lokasi berkenaan diisytiharkan sebagai kawasan bencana pada 4 pagi.

“Kawasan ini menempatkan lebih kurang 1,200 rumah dan jumlah yang terkesan ialah kira-kira 1,000 rumah melibatkan 9,007 mangsa,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

George berkata pihak berkuasa kini giat membantu menyelaras pendaftaran mangsa bagi tujuan pemindahan dan pengagihan bantuan.

Beliau juga menyangkal dakwaan tular di media sosial kononnya kebakaran itu meragut nyawa.

“Saya tegaskan setakat ini, saya tidak menerima apa-apa laporan kemalangan jiwa. Apa yang berlaku, mungkin cedera semasa menyelamatkan harta benda atau membantu rakan yang lain,” katanya.

George berkata operasi menyelaras pengurusan bencana digerakkan bersama-sama agensi lain termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selaku komander insiden serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Beliau berkata punca sebenar kejadian kebakaran masih dalam siasatan pihak JBPM.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan