AM

DSA Dan NATSEC Asia 2026: 16 Perjanjian Dimeterai Universiti Awam, Pacu Teknologi Pertahanan

20/04/2026 05:44 PM

KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Tiga universiti awam di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melakar sejarah apabila berjaya memeterai 16 perjanjian strategik dengan pelbagai rakan industri pertahanan dalam dan luar negara.

Majlis pemeteraian itu berlangsung sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Negara (NATSEC) Asia 2026 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.

Pertukaran dokumen berkenaan disaksikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Prof Dr Azlinda Azman di Astaka KPT membabitkan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Azlinda berkata program di bawah Astaka KPT itu merupakan peluang keemasan bagi mempertemukan hasil kajian akademia dengan pemain industri pertahanan secara langsung.

"Ini adalah satu platform untuk universiti awam mengetengahkan produk-produk inovasi yang telah dihasilkan, sekali gus membolehkan inovasi yang belum diambil oleh pihak industri untuk dinilai dan disesuaikan dengan keperluan sektor keselamatan.

"Kita kumpulkan inovasi ini di satu pavilion supaya mudah untuk pihak industri melihat, menilai dan mengenal pasti produk yang sesuai bagi memperkayakan lagi jalinan kerjasama strategik antara mereka," katanya selepas majlis itu.

Kesemua perjanjian itu merangkumi tujuh Memorandum Perjanjian (MoA), empat Memorandum Persefahaman (MoU), tiga Perjanjian Kerahsiaan (NDA) dan dua Surat Niat (LoI).

UPNM memeterai jumlah tertinggi dengan 14 perjanjian manakala UMPSA dan UniMAP masing-masing mencatatkan satu perjanjian.

Azlinda berkata lebih 75 peratus daripada 16 perjanjian yang dimeterai hari ini menjurus kepada bidang teknologi pertahanan dan pemindahan ilmu teknikal, merangkumi sistem peluru berpandu dan balistik artileri, teknologi dron dan sistem autonomi udara (UAS), keselamatan siber, serta teknologi roket dan satelit.

"Sebagai contoh, UMPSA membawa inovasi berkaitan dron termasuk spy drone (dron pengintipan) dan dron untuk penghantaran barangan.

“UTHM pula mempamerkan inovasi rekaan bom khusus untuk tujuan latihan (praktis), manakala UPNM tampil dengan kepakaran tujahan mereka iaitu kecerdasan buatan (AI) serta pertahanan siber," katanya.

Secara keseluruhan, Astaka KPT yang beroperasi hingga 23 April ini menghimpunkan sembilan universiti awam di bawah satu bumbung bagi mempamerkan 12 produk inovasi penyelidikan tempatan yang mencakupi teknologi pertahanan, keselamatan siber, dan sistem autonomi.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan