AM

Bayaran Pampasan Melalui Khidmat Masyarakat Boleh Dipertimbang - Azalina

20/04/2026 03:11 PM

PUTRAJAYA, 20 April (Bernama) -- Restitusi atau bayaran pampasan kepada pihak yang berhak bagi memulihkan kerugian atau ketidakadilan melalui khidmat masyarakat sebagai alternatif boleh dipertimbangkan melalui tribunal khas bagi tuntutan pampasan kepada keluarga mangsa jenayah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata penelitian melibatkan jenis pampasan perlu dilihat secara meluas terutamanya orang perseorangan dan keupayaan pihak bertanggungjawab.

"Bagi saya isu pampasan ini dalam Jawatankuasa Pembaharuan Undang-undang Jenayah, kita tengok pada aspek secara meluas. 

"Sebagai contoh, saya ada sebut tentang 'corporate manslaughter' untuk kes pemandu bas cuai. Kita nak syarikat bertanggungjawab dan bila syarikat bertanggungjawab, takkan kita nak syarikat masuk penjara," katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan Pejabat Bahagian Pembelaan Awam, Pelancaran Kembara Justice on Wheels (JoW) dan Pentauliahan Pegawai Pengantara Jabatan Bantuan Guaman.

Azalina berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan media baru-baru ini bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) meneliti cadangan penubuhan tribunal khas bagi tuntutan pampasan kepada keluarga mangsa jenayah.

Media melaporkan, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar yang mengesahkan perkara itu berkata cadangan berkenaan memerlukan kajian terperinci bagi memastikan keberkesanannya dari segi pelaksanaannya jika direalisasikan kelak.

Cadangan penubuhan tribunal khas itu adalah susulan beberapa pihak termasuk ahli politik dan pakar undang-undang yang mahukan pampasan diberi kepada keluarga mangsa maut akibat jenayah termasuk kemalangan.

Azalina berkata keadaan berbeza jika ia membabitkan organisasi yang dipertanggungjawabkan dengan ganti rugi dianugerahkan kepada keluarga mangsa kerana ia boleh termasuk dalam pakej hukuman dikenakan.

Beliau berpandangan bahawa tribunal dicadangkan itu memerlukan sedikit penyesuaian, berikutan jenis pampasan berkenaan tidak semestinya dalam bentuk kewangan, dengan mengambil contoh daripada amalan beberapa negara luar yang melaksanakan restitusi dalam bentuk kerja sosial.

"...sebab di beberapa negara, tak semestinya  itu (melibatkan) duit, mungkin boleh buat kerja-kerja sosial," katanya.

Antara negara yang melaksanakan restitusi melalui khidmat masyarakat adalah United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada dan Jerman.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan