KUANTAN, 20 April (Bernama) -- Istana Pahang menafikan sebarang bentuk tawaran bantuan kepada orang ramai oleh Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang disebarkan di platform TikTok.
Istana Pahang menerusi hantaran Facebook Kesultanan Pahang memaklumkan terdapat akaun palsu di platform itu yang meminta pengguna menghantar mesej dan nombor telefon ke akaun berkenaan bagi mendapatkan tawaran hadiah.
“Sultan Pahang tidak mempunyai sebarang akaun media sosial yang dilihat banyak dihasilkan oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan menggunakan nama dan gambar Al-Sultan Abdullah untuk memperdaya orang ramai.
“Begitu juga dengan akaun palsu, terutamanya Facebook dan TikTok menggunakan nama serta gambar Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah,” menurut hantaran itu.
Istana Pahang menasihatkan orang ramai tidak mempercayai sebarang pautan atau maklumat yang terkandung dalam media sosial palsu dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa jika menerima pelawaan atau kandungan mencurigakan.
Istana Pahang memaklumkan semua aktiviti atau titah secara langsung hanya disiarkan menerusi platform media sosial menggunakan nama Kesultanan Pahang manakala portal rasmi ialah istanapahang.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial