PUTRAJAYA, 20 April (Bernama) -- Inisiatif PowerUp 10K yang dilaksanakan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dijangka dapat membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) meningkatkan perniagaan dalam keadaan ketidaktentuan global ketika ini.
Menterinya Steven Sim Chee Keong berkata inisiatif berkenaan dengan komitmen menyediakan pembiayaan sehingga RM15 bilion ke dalam pasaran disasarkan dapat menyokong peningkatan skala kira-kira 10,000 syarikat PMKS, selaras dengan usaha kerajaan memperkasa ekonomi rakyat.
"Usaha ini bertujuan membantu PMKS bukan sahaja kekal berdaya tahan, malah terus berkembang dan merebut peluang perniagaan dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik global serta peningkatan kos operasi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu Sim berkata kementerian tersebut menyambut baik langkah-langkah segera yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meringankan tekanan kos yang dihadapi PMKS susulan krisis tenaga global.
Antara inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri ialah RM5 bilion jaminan pembiayaan melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), kelonggaran e-invois serta pengecualian cukai bersasar.
Sim berkata pengumuman itu tepat pada masanya dalam memastikan kelangsungan perniagaan dan perlindungan pekerjaan rakyat.
“KUSKOP akan terus memperkukuh usaha itu melalui pendekatan ABCD iaitu Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran.
“Kementerian juga akan terus bekerjasama rapat dengan pemegang taruh, khususnya pemain industri dan institusi kewangan bagi memastikan setiap sokongan dapat disampaikan dengan cepat, berkesan dan memberi impak langsung kepada usahawan di lapangan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial