AM

NADMA Selaras Empat Operasi Pembenihan Awan Di Melaka, Johor Bermula Hari Ini

20/04/2026 06:27 PM

PUTRAJAYA, 20 April (Bernama) -- Sebanyak empat siri operasi pembenihan awan (OPA) yang menumpukan kawasan selatan Semenanjung, iaitu Melaka dan Johor dilaksanakan bermula hari ini hingga Khamis (23 April).

Diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), operasi berkenaan susulan cuaca panas dan kering di beberapa kawasan di kedua-dua negeri itu yang telah memberikan kesan kepada kehidupan harian penduduk, terutamanya dari aspek kelangsungan perkhidmatan bekalan air, pertanian, pekebun kecil dan keselamatan.

NADMA dalam kenyataan hari ini memaklumkan OPA kali ini memberikan tumpuan kepada lapan empangan dan dua Loji Rawatan Air (LRA) di Melaka dan Johor bagi menjamin kelangsungan bekalan air kepada penduduk.

“Tumpuan utama di Melaka termasuklah Empangan Durian Tunggal, Empangan Jus dan Empangan Asahan, manakala di Johor melibatkan Empangan Upper Layang, Empangan Machap, Empangan Seluyut, Empangan Lebam, Empangan Linggiu, LRA Lokheng dan LRA Gembut.

“Kesinambungan operasi ini sangat perlu memandangkan paras simpanan air di kawasan empangan ini masih berada pada tahap waspada,” menurut NADMA.

NADMA memaklumkan pihaknya telah mendapat nasihat teknikal daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berhubung kesesuaian ciri-ciri atmosfera sebelum pelaksanaan OPA.

Penilaian terhadap kesesuaian keadaan atmosfera penting bagi memastikan keberkesanan aktiviti penyemburan larutan garam (natrium klorida) ke dalam awan, khususnya dalam merangsang pembentukan awan hujan.

“Intervensi pembenihan awan ini amat diperlukan sebagai satu daripada langkah proaktif bagi mengelakkan krisis bekalan air mencapai tahap kritikal menjelang awal Mei 2026, sekali gus dapat memastikan kestabilan bekalan air untuk rakyat Melaka dan Johor kekal terjamin,” menurut NADMA.

Pesawat C130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan digunakan sepanjang operasi berkenaan dijalankan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan