KOTA BHARU, 20 April (Bernama) -- Jurufoto Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Muhammad Mustaqim Khairuddin yang cedera dalam kemalangan jalan raya pada Sabtu lepas menerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA hari ini.
Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Ketua Biro Bernama Kelantan Muhammad Afiq Mohd Asri di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bagi meringankan beban kewangan mangsa sepanjang tempoh rawatannya.
Muhammad Mustaqim, 33, berkata kemalangan berlaku pada 8.30 pagi ketika beliau dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) untuk membuat liputan perasmian terminal baharu LTSIP oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kejadian berlaku di Jalan Wakaf Siku apabila saya cuba mengelak sebuah kereta di hadapan sebelum hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan. Insiden itu mengakibatkan saya tercampak daripada motosikal yang ditunggang.
"Akibat kemalangan itu, saya mengalami kecederaan patah bahu dan paha kanan. Keadaan saya setakat ini stabil, namun pergerakan sangat terhad," katanya kepada Bernama di Wad Chempaka, HRPZ II, di sini hari ini.
Muhammad Mustaqim yang telah 10 tahun berkhidmat di Bernama kini sedang menunggu giliran untuk menjalani pembedahan memasukkan implan pada paha kanannya yang dijangka pada Ahad depan.
Beliau berharap proses pembedahan berkenaan berjalan lancar dan dikurniakan kesembuhan segera agar dapat kembali bertugas seperti biasa.
"Buat masa ini, saya dijaga oleh isteri, Yasirah Yauzi, 30. Segala urusan harian termasuk makan, pergerakan dan keperluan rawatan banyak dibantu olehnya.
"Saya amat berterima kasih atas keprihatinan Tabung Kasih@HAWANA serta rakan-rakan media yang tidak putus-putus memberikan sokongan," katanya yang menjadi penerima ke-726 tabung berkenaan.
Tabung Kasih@HAWANA merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi melalui Bernama yang diperkenalkan pada April 2023 bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA).
Tabung kebajikan ini menyediakan sokongan perubatan, bantuan kecemasan dan bantuan kewangan secara one-off kepada pengamal media yang menghadapi kesusahan akibat penyakit, kemalangan atau keperluan mendesak.
Dana ini menyantuni wartawan, editor, jurufoto, jurukamera, penerbit, pekerja media bebas, termasuklah golongan pesara dan sejak diperkenalkan, tabung berkenaan telah membantu 725 pengamal media melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM2.114 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial