SHAH ALAM, 20 April (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke Majlis Santapan Malam bersempena dengan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-15 di sini, hari ini.
Ketibaan baginda yang diiringi Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah disambut oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Lau Weng San serta Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.
Lau dalam sembah ucapannya berkata DUN Selangor kini berada di barisan hadapan dalam memacu transformasi digital yang holistik menerusi pelaksanaan sistem e-sidang yang akan dilaksanakan sepenuhnya pada sidang kedua tahun ini sejak dilaksanakan secara berfasa pada tahun lepas.
Beliau berkata dalam mendepani inovasi masa hadapan, institusi terbabit turut meneroka sempadan baharu dengan menggunakan kecerdasan buatan (AI) dalam penghasilan hansard yang merupakan sinergi strategik bersama Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) melalui program Teraju AI Selangor.
“Pengintegrasian teknologi AI dalam proses transkripsi ini bukan sahaja memendekkan tempoh penyediaan hansard, malah turut menjamin ketepatan dan melengkapi sistem carian hansard elektronik yang sedang dibangunkan di portal rasmi DUN Selangor,” katanya.
Lau berkata DUN Selangor juga menjalin kerjasama strategik dan konsultasi erat bersama Parlimen Malaysia dalam usaha menghidupkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA).
“Patik berharap pada peringkat Selangor, draf perundangan ini dapat dimuktamadkan dengan sokongan semua pihak.
“Patik percaya reformasi ini akan meletakkan DUN Selangor sebagai penanda aras kepada Dewan Undangan Negeri yang lain di Malaysia, sekali gus memperkukuh sistem demokrasi berparlimen di bawah naungan tuanku,” katanya.
Dalam pada itu, Lau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) turut memaklumkan bahawa penyata lengkap hasil pendengaran awam berkaitan banjir di daerah Klang akan dibentangkan pada sidang kali ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial