KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kekuatan institusi kewangan negara yang mendukung aspirasi nasional menjadi asas kepada sistem ekonomi Malaysia terutamanya dalam menghadapi ketidaktentuan berikutan krisis Asia Barat.
Sambil menyatakan penghargaan, Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata Bank Negara Malaysia (BNM) dan institusi kewangan dalam negara telah memberikan kerjasama sepenuhnya dalam menjayakan langkah-langkah yang wajar sekali gus meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.
“Saya mulakan dengan menyatakan penghargaan kerana bank telah memberikan kerjasama yang baik. Kita tahu isu yang dibangkitkan oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tentang keupayaan untuk mendapatkan pinjaman.
“Sepertimana kita tahu, rekod itu membanggakan apabila kadar kelulusan pembiayaan PMKS adalah kira-kira 80 peratus,” kata beliau selepas mempengerusikan sesi meja bulat bersama 20 wakil institusi kewangan dalam negara di sini hari ini.
Turut hadir Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.
Perdana Menteri berkata kerajaan sentiasa bersiap siaga dan bersedia mengambil langkah baharu bagi mempertahankan kedudukan dan pertumbuhan ekonomi susulan impak daripada krisis Asia Barat.
“Saya belajar daripada pengalaman krisis 90-an (dan) COVID-19 bahawa bantuan itu harus lebih teliti, menjurus dan tidak menyeluruh kerana hanya membantu kelompok yang terkesan daripada krisis ini dan tidak berbelanja luar daripada keupayaan kita.
“Oleh itu, mesti menyasarkan bantuan atau subsidi kepada kelompok yang hanya memerlukan.
Cabaran utama kita (kerajaan) ialah menjamin keperluan termasuk minyak, gas dan baja itu mencukupi agar pertumbuhan tidak terbabas,” kata Anwar.
Perdana Menteri berkata petunjuk makroekonomi negara juga baik pada suku pertama tahun ini, dengan unjuran BNM, iaitu pertumbuhan ekonomi antara empat dan lima peratus meskipun terkena tempias daripada krisis Asia Barat.
“Ini (pencapaian) membanggakan jika dibandingkan dengan negara lain,” kata beliau.
Anwar turut mengulangi pencapaian ringgit yang kukuh berbanding mata wang Asia lain.
Mata wang tempatan mencatatkan prestasi cemerlang dan terbaik di Asia selama dua tahun berturut-turut.
Perdana Menteri berkata kesemua pencapaian itu juga hasil daripada pengurusan kewangan negara dan bank sekali gus menambah keyakinan pelabur terhadap sistem kewangan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial