DUNIA

AS Gesa Undang-Undang Pengesahan Umur Peringkat OS Untuk Media Sosial

21/04/2026 05:10 PM

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Rang undang-undang dwipartisan yang baru diperkenalkan di Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) bertujuan memberi mandat kepada penyedia sistem pengendalian (OS) untuk mengesahkan umur semua pengguna sekali gus mengalihkan tanggungjawab memeriksa umur daripada aplikasi individu kepada pemilik platform.

Menurut laporan oleh BiometricUpdate.com, perundangan yang dicadangkan itu, yang dikenali sebagai Akta Keputusan Ibu Bapa (HR 8250), telah diperkenalkan minggu ini oleh Anggota Dewan Perwakilan AS Josh Gottheimer dan Elise Stefanik.

Di bawah rang undang-undang itu, pengguna dikehendaki memasukkan tarikh lahir mereka semasa membuat akaun dan menggunakan sistem pengendalian.

Bagi pengguna di bawah umur 18 tahun, ibu bapa atau penjaga yang sah akan dikehendaki mengesahkan umur kanak-kanak berkenaan.

Hal ini secara berkesan mengalihkan infrastruktur pengesahan umur ke tahap OS, tertakluk pada privasi dan peraturan perlindungan data.

Gottheimer berkata internet semakin berbahaya untuk kanak-kanak, dengan kecerdasan buatan (AI) dan platform membentuk pemikiran serta tindakan mereka tanpa perlindungan mencukupi.

"Sekarang ini, kita mengharapkan kanak-kanak mengawal sendiri keselamatan mereka dalam talian. Itu tidak realistik - dan ia tidak bertanggungjawab. 

"Ibu bapa harus memutuskan aplikasi yang boleh dimuat turun oleh anak mereka, kandungan yang boleh mereka tonton dan cara mereka berinteraksi dalam talian, bukan algoritma atau syarikat teknologi," katanya, seperti dipetik oleh BiometricUpdate.com.

Gottheimer menambah pendekatan itu mewujudkan standard yang dipercayai dan konsisten merentas platform, memastikan sistem pengendalian mengawal had yang ditetapkan untuk kanak-kanak dan menyampaikannya kepada aplikasi serta platform AI.

Laporan itu menyatakan perundangan tersebut selaras dengan usaha dwipartisan yang lebih luas untuk meningkatkan keselamatan dalam talian termasuk Undang-Undang Sammy, Akta Keselamatan Dalam Talian Kanak-Kanak dan Akta Perlindungan Privasi Dalam Talian Kanak-Kanak dan Remaja.

Penguatkuasaan rang undang-undang itu akan terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan (FTC) AS. 

FTC dikehendaki mengeluarkan peraturan dalam tempoh 180 hari dari penggubalan undang-undang yang meliputi peranti yang dikongsi, pengesahan ibu bapa dan piawaian perlindungan data untuk memastikan maklumat tarikh lahir dikumpul dengan selamat dan dilindungi daripada pelanggaran.

Selain itu, FTC akan turut diberi mandat untuk memberi taklimat kepada Kongres tentang proses pembuatan peraturannya, dan dalam tempoh 18 bulan, suruhanjaya itu mesti menyerahkan laporan yang memperincikan pematuhan pembekal dan sama ada Kongres perlu mengemas kini keperluan undang-undang tersebut.

Rang undang-undang itu juga termasuk peruntukan pengecualian (safe harbour), dengan syarat penyedia OS yang mematuhi undang-undang tidak dipertanggungjawabkan di bawah akta itu jika mereka mematuhi dengan ketat keperluan statut dan peraturan FTC. Jika diluluskan, undang-undang berkenaan akan berkuat kuasa setahun selepas penggubalannya.

Sementara itu, Malaysia juga mengambil langkah penting untuk melindungi kanak-kanak bawah umur dalam ruang digital.

Kerajaan bercadang untuk menyekat kanak-kanak di bawah umur 16 tahun daripada membuka akaun media sosial peribadi menjelang Jun 2026.

Inisiatif berkenaan bertujuan meningkatkan keselamatan dalam talian dengan secara agresif menangani ancaman serius seperti buli dan pengantunan.

Ini mencerminkan sekatan yang sama kepada akses media sosial untuk pengguna muda yang diperkenalkan baru-baru ini oleh negara seperti Australia dan Indonesia demi menjaga kesejahteraan digital.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pada Sabtu lepas, kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) masih menjalankan sesi penglibatan dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk memberi taklimat, mengumpul maklum balas dan menangani kebimbangan.

Beliau juga menjelaskan salah faham berhubung pelaksanaan itu, menjelaskan bahawa kanak-kanak masih boleh mengakses internet atau platform media sosial namun di bawah pengawasan ibu bapa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan