AM

Bank Islam Naik Taraf 25 Bot Nelayan Di Mersing, Guna Teknologi Solar PV

21/04/2026 04:55 PM

MERSING, 21 April (Bernama) -- Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) melaksanakan projek menaik taraf 25 bot nelayan B40 daerah itu, melalui pemasangan sistem solar fotovoltan (PV) bagi mengurangkan kebergantungan terhadap diesel, sekali gus memperkenalkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.

Pengarah Kewangan Sosial Bank Islam Mohd Zikri Mohd Shairy berkata ketidaktentuan harga bahan api global menjadikan kos operasi nelayan tidak menentu, justeru itu peralihan kepada tenaga solar dapat mengurangkan risiko kewangan dan menstabilkan pendapatan jangka panjang.

“Inisiatif ini juga menyokong usaha kelestarian alam sekitar dan pengurangan bunyi enjin diesel, dapat membantu meningkatkan lagi hasil tangkapan selain memberi penjimatan (kos diesel) kira-kira RM150 sebulan kepada mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di Jeti Penyabong di sini, semalam.

Majlis perasmian disempurnakan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (GCOO) dan Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan (GCSO) Bank Islam Mohamed Iran Moriff Mohd Shariff. Turut hadir Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Johor Haslin Marlina Hashim.

Projek direka berdasarkan kerangka Pulangan Pelaburan Sosial (SROI) bernilai hampir RM150,000 itu, dilaksanakan Sadaqa House dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta sokongan Lembaga Tabung Haji.

Mohd Zikri berkata selain peningkatan kecekapan operasi, projek tersebut turut memberi impak kepada penurunan tahap pelepasan karbon serta penggunaan tenaga selamat dan mampan, bagi menyokong pemuliharaan laut.

Beliau berkata sistem itu, membolehkan proses pengeluaran air dalam bot dilakukan secara automatik, sekali gus memudahkan penyelenggaraan tanpa kehadiran nelayan secara kerap di jeti.

“Misalnya sebelum ini apabila cuti mereka terpaksa datang juga mengeluarkan air yang masuk ke dalam bot satu atau dua kali sehari, tetapi dengan adanya sistem yang dibekalkan daripada cahaya matahari ini ia berlaku secara automatik,” katanya.

Projek berkenaan merangkumi pemerkasaan komuniti, termasuk penambahbaikan kemudahan jeti melibatkan pembinaan bumbung, selain sokongan perusahaan mikro dalam kalangan isteri nelayan seperti penghasilan ikan masin dan otak-otak dengan sumbangan kira-kira RM50,000.

“Selain itu, projek melibatkan 180 pelajar terdiri daripada UTM, Politeknik, Kolej Komuniti dan Institut Latihan Perindustrian ini, menjadi platform pemindahan ilmu dan latihan praktikal yang secara tidak langsung membantu membangunkan modal insan,” katanya.

Ketika ditanya harga pasaran, beliau berkata kos pemasangan bagi setiap bot dianggarkan antara RM6,000 hingga RM7,000, termasuk panel dan sistem dengan penggunaan bateri litium yang harganya lebih tinggi, namun mempunyai jangka hayat lebih panjang berbanding bateri biasa.

Institusi perbankan itu merancang untuk memperluas inisiatif berkenaan ke Morib, Selangor menjelang akhir tahun ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan