PONTIAN, 21 April (Bernama) -- Johor Port Berhad (JPB) dan Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) dijangka menerajui penggunaan bot tunda elektrik (e-tugboat) di pelabuhan di negara ini dengan sasaran mengoperasikan sekurang-kurangnya lima unit bot berkenaan menjelang 2035.
Pengerusi Lembaga Pengarah LPJ Dr Rosnan Fathlal berkata penggunaan e-tugboat sememangnya tepat memandangkan peningkatan kos operasi diesel yang melambung lebih empat kali ganda kerana sebelum peperangan (Iran-Israel-Amerika Syarikat) harga diesel RM2.80 seliter berbanding kini RM5.97 seliter.
“Bot tunda ini memainkan peranan besar dalam operasi sesebuah pelabuhan yang berfungsi untuk memindahkan kapal yang berlabuh, menarik kapal dan sebagainya. Untuk makluman bagi tempoh sebulan sahaja JPB menggunakan sekitar 1 juta liter diesel dan setahun sekitar 12 hingga 13 juta liter.
“Sebanyak 75 peratus daripada jumlah itu hanya untuk kegunaan bot tunda dan bayangkan jika ia dioperasikan oleh bot tunda elektrik ... banyak yang boleh dijimatkan,” katanya kepada Bernama selepas Program Hari Penanaman Pokok Bakau 2026 di Taman Negara Tanjung Piai, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port Md Derick Basir dan Pengurus Taman Negara Johor Tanjung Piai Muhammad Hanif Aminuddin.
Rosnan berkata buat permulaan pihaknya akan mengoperasikan dua bot tunda berkenaan dan pada masa sama akan menjalankan kajian keberkesanan penggunaannya.
“Buat masa ini JPB mengoperasikan 13 bot diesel dan sememangnya agak terkesan dengan peningkatan harga bahan bakar berkenaan yang jumlah penggunaan (liter) lebih kurang sama tetapi harganya kini semakin meningkat,” katanya yang turut memaklumkan kesemua pelabuhan di negara ini masih menggunakan bot tunda diesel.
Rosnan berkata dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini pihaknya mengendalikan 501,227 Unit Setara Dua Puluh Kaki (TEU) pengendalian kontena berbanding tempoh sama sebanyak 509,790 TEU pada tahun lepas dengan penurunan sebanyak 8,563 TEU.
“Bagi pengoperasian vessel juga menunjukkan penurunan iaitu daripada 2,103 kapal kepada 1,885 kapal dalam tempoh yang sama. Ia berkemungkinan akibat krisis peperangan yang berlaku baru-baru ini,” katanya.
Sementara itu berkenaan program hari ini, Rosnan berkata JPB dan LPJ menyasarkan menanam 160,000 pokok bakau di negeri ini dalam aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka dan pada hari ini sahaja sebanyak 2,000 pokok bakau berjaya ditanam.
Beliau berkata sasaran berkenaan merangkumi tempoh lima tahun melibatkan kawasan seluas 13.4 hektar yang telah memasuki tahun ketiga pelaksanaannya dan sepanjang tempoh itu sekitar 3.4 hektar berjaya ditanam dengan pokok bakau.
“Pada hari ini aktiviti CSR kita yang dilaksanakan bersempena Hari Bumi Sedunia telah mendapat kerjasama daripada Taman Negara Tanjung Piai, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Pasir Gudang dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL-MITEC),” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial