KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Kenyataan berhubung Foreign Workers Centralised Management System (FWCMS), dan cadangan sistem pengambilan pekerja asing baharu (TURAP) perlu berasaskan fakta dan bukan naratif politik.
Setiausaha Politik kepada Menteri Sumber Manusia Aizuddin Abd Gaffar berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli, dan Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad yang membangkitkan isu berkaitan pelaksanaan FWCMS serta cadangan sistem TURAP yang masih dalam peringkat penelitian.
Aizuddin menegaskan bahawa proses semak dan imbang dalam sistem demokrasi perlu berlandaskan integriti serta ketepatan fakta, bukan dipengaruhi kepentingan politik.
“Dasar negara tidak boleh digerakkan oleh emosi dan retorik semata-mata, sebaliknya mesti berpaksikan fakta, keperluan ekonomi semasa dan kesejahteraan semua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pelanjutan kontrak FWCMS hingga 2031 telah diluluskan pada 24 Jun 2024 di bawah tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri ketika kedua-dua mereka berkenaan masih berada dalam Kabinet.
“Pada ketika itu, kedua-dua individu yang kini lantang bersuara masih anggota Kabinet yang mempunyai kuasa, akses kepada maklumat, dan tanggungjawab kolektif dalam proses membuat keputusan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mempersoalkan tindakan kedua-dua Ahli Parlimen itu yang hanya membangkitkan isu berkenaan selepas tidak lagi berada dalam Kabinet.
“Jika benar terdapat kelemahan yang begitu serius seperti yang didakwa hari ini, mengapa suara itu tidak kedengaran ketika mereka berada di meja membuat keputusan? Mengapa hanya sekarang barulah pelbagai isu diketengahkan?,” katanya.
Aizuddin berkata Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) turut membangkitkan beberapa isu berkaitan pelaksanaan FWCMS dan kemungkinan pertindihan dengan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe), namun perkara itu tidak dibantah ketika proses terdahulu.
Beliau menyifatkan tindakan mengubah pendirian selepas meninggalkan Kabinet sebagai tidak konsisten dan mengelirukan.
Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan kekal komited melaksanakan agenda jangka panjang termasuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing secara berperingkat melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Bagaimanapun, katanya keperluan semasa industri tidak boleh diabaikan termasuk isu pekerja asing yang terperangkap dalam beban hutang pencarian kerja, serta permintaan sektor perniagaan dan industri terhadap sistem pengambilan yang lebih telus dan efisien.
Aizuddin turut berkata cadangan sistem pengambilan pekerja asing baharu masih berada pada peringkat penilaian dan belum ada sebarang keputusan muktamad atau pelantikan dibuat.
Beliau dalam masa sama menggesa semua pihak menghentikan cubaan membina persepsi yang mengelirukan terhadap kerajaan.
“Segala pertimbangan sedang dilaksanakan secara teliti dengan mengambil kira kepentingan negara, ketelusan serta keberkesanan jangka panjang,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial