PUTRAJAYA, 21 April (Bernama) -- Semua cadangan berkaitan sistem pengambilan pekerja asing secara digital masih dalam peringkat penilaian dan belum diputuskan, selain tiada sebarang komitmen, pelantikan atau perjanjian dibuat dengan mana-mana pihak setakat ini.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kementerian kini sedang meneliti dan memperhalusi cadangan berkenaan melalui sesi libat urus.
Sesi libat urus itu melibatkan negara-negara sumber tenaga kerja serta pihak industri, termasuk penyedia teknologi Foreign Worker Centralised Management System (FWCMS), yang digunakan bagi pengurusan pekerja asing ke Malaysia sejak 2015.
"Sebarang laporan atau kenyataan yang menggambarkan seolah-olah keputusan telah dimuktamadkan adalah tidak benar, mengelirukan dan tidak mencerminkan kedudukan sebenar kerajaan," menurut kenyataan itu.
KESUMA memaklumkan kajian menyeluruh terhadap ekosistem pekerja asing mendapati wujud kelompangan dalam komponen perekrutan di negara sumber, khususnya berkaitan isu ikatan hutang (debt bondage) yang boleh mendedahkan pekerja kepada risiko eksploitasi.
Susulan itu, pihak KESUMA sedang meneroka pembangunan sistem pengambilan pekerja asing secara digital berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menambah baik ekosistem pengambilan pekerja asing secara menyeluruh.
Menurut kenyataan itu, pendekatan berkenaan membolehkan pengambilan pekerja asing secara langsung oleh majikan berdasarkan keperluan sebenar tenaga kerja, merangkumi keseluruhan proses di negara sumber termasuk pendaftaran, pemilihan, padanan pekerjaan, persetujuan kontrak perkhidmatan antara majikan dan pekerja, serta fasilitasi penghantaran pekerja.
"Kos perekrutan akan ditanggung sepenuhnya oleh majikan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah dan memastikan tiada beban kewangan dikenakan kepada pekerja asing," menurut kenyataan itu.
Cadangan berkenaan adalah selaras dengan prinsip pengambilan pekerja yang adil dan beretika yang diterapkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), dan berpotensi menangani isu pemerdagangan orang dan buruh paksa, di samping memperkukuh usaha Malaysia mencapai penarafan Tier 1 dalam United States Trafficking in Persons Report.
"Cadangan ini hanya tertumpu kepada proses perekrutan pekerja asing di negara sumber sahaja iaitu pada peringkat proses pascakelulusan kuota dan tidak mengganggu apa-apa proses praperekrutan seperti peranan agensi kawal selia, kelulusan kuota termasuk aktiviti penguatkuasaan kerajaan berlandaskan perundangan sedia ada," menurut kenyataan itu.
Sebarang pelaksanaan kelak akan tertakluk sepenuhnya kepada kawalan KESUMA dari segi dasar dan operasi, serta diintegrasikan dengan sistem kerajaan sedia ada termasuk Foreign Worker Centralised Management System (FWCMS) dan National Integrated Immigration System (NIISe).
"Daripada aspek pengurusan pekerja asing, penglibatan dan peranan agensi pekerjaan swasta di Malaysia kekal dan tidak terjejas kerana KESUMA melihat cadangan ini sebagai satu platform yang boleh digunakan oleh majikan sendiri atau melalui agensi pekerjaan swasta untuk menjalankan proses perekrutan," menurut kenyataan itu.
Usaha memperkukuh sistem perekrutan itu turut menerima sokongan positif daripada beberapa negara sumber tenaga kerja utama seperti Bangladesh, Indonesia dan India, khususnya dalam meningkatkan ketelusan dan kecekapan operasi serta mewujudkan kesinambungan ekosistem pekerja asing yang menyeluruh daripada proses pra hingga pascaperekrutan.
Pada peringkat industri pula, persatuan utama termasuk Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) serta Malaysian Employers Federation (MEF) turut menyokong usaha kerajaan memodenkan sistem pengambilan pekerja asing..
"Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) mewakili lebih 13,300 syarikat pengilangan juga secara terbuka menyambut baik cadangan ini, sekali gus mencerminkan keperluan industri terhadap sistem yang lebih telus, berdaya saing serta mampu mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah dan mengawal kos perekrutan," menurut kenyataan itu.
Sebarang pelaksanaan kelak akan mematuhi semua tatakelola yang ditetapkan dan melalui proses pertimbangan serta persetujuan Kabinet selepas libat urus dengan penglibatan kementerian berkaitan, pihak industri dan negara sumber tenaga kerja bagi memastikan sistem yang dibangunkan benar-benar seimbang, berkesan dan memenuhi keperluan serta kepentingan negara.
KESUMA kekal komited memperkukuh pembangunan bakat tempatan sebagai teras utama reformasi pasaran buruh negara, selaras dengan agenda jangka panjang untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial