EKONOMI

Kementerian Pertahanan Meterai 24 Kontrak, ICP Bernilai RM3.54 Bilion

22/04/2026 08:41 PM

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Kementerian Pertahanan memeterai 24 kontrak dan Program Kolaborasi Industri (ICP) bernilai RM3.54 bilion di pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026.

Pemeteraian itu merangkumi 12 kontrak perolehan, empat Surat Niat bernilai RM1.01 bilion serta lapan perjanjian nilai kredit ICP bernilai RM1.40 bilion.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata tempoh kontrak bergantung kepada syarikat pembuat kapal dan pengeluar peralatan tulen (OEM) yang terlibat. 

Beliau berkata jumlah kontrak dan ICP yang dimeterai pada pameran kali ini adalah rendah berbanding angka ketika acara yang sama dua tahun lepas.

“Ini kerana seperti kita sudah maklum pada awal tahun ini, kita membekukan semua proses pertimbangan perolehan bagi kontrak kerana perkara yang tidak dapat dielakkan.

“Itu bukan bermakna tidak ada lagi perolehan sebaliknya kerana dua bulan, tiga bulan kita tidak melaksanakan apa-apa proses, maka yang kita tandatangan adalah seperti yang kita saksikan pada hari ini,” katanya pada sidang media penganugerahan dan pemeteraian kontrak dan ICP di sini, hari ini.

Pameran edisi ke-19  itu mencatatkan penyertaan 1,456 syarikat pempamer dari 63 negara berbanding 1,324 syarikat dari 60 negara pada 2024.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan