KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) diiktiraf sebagai Pengawal Selia Terbaik dalam Mempromosikan Kewangan Islam bagi tahun ketiga berturut-turut di Anugerah Islamic Finance News (IFN).
Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata pengiktirafan itu bukan sahaja mencerminkan usaha SC sebagai pihak kawal selia malah juga mengiktiraf sumbangan rakan ekosistem, khususnya komitmen peserta industri terhadap pertumbuhan kewangan Islam.
“Pada masa ini, aset kewangan Islam global mencecah hampir US$6 trilion dan dijangka terus berada pada trajektori meningkat. Aset diunjurkan mencapai US$9.7 trilion menjelang 2029, mewakili kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sebanyak 10 peratus.
“Di peringkat domestik, Pasaran Modal Islam (ICM) kami telah berkembang kepada RM2.7 trilion, menyumbang lebih 60 peratus kepada saiz pasaran modal Malaysia.
“Ini mengesahkan keyakinan selama berdekad bahawa sistem yang berteraskan keadilan, kesaksamaan dan kemakmuran bersama bukan sahaja kukuh, malah juga berdaya maju,” katanya ketika berucap pada majlis Anugerah IFN di sini, hari ini.
IFN ialah penyedia berita, analisis dan data kewangan patuh syariah secara digital dan berasaskan langganan yang terkemuka di dunia.
Beliau juga berkata ketegangan geopolitik yang semakin meningkat memberi kesan melangkaui konflik Asia Barat dan tidak lagi sekadar berita utama yang jauh.
“Kita menghadapi gangguan terhadap keterjaminan makanan, pasaran tenaga, rantaian bekalan dan sumber pendapatan.
“Di Malaysia, kenaikan harga bahan api menjadi peringatan bahawa tiada ekonomi yang benar-benar kebal,” katanya.
Mohammad Faiz berkata selain itu, keterjaminan tenaga juga turut terjejas.
Berdasarkan kira-kira 25 hingga 30 peratus minyak global dan 20 peratus gas asli cecair (LNG) dihantar melalui Selat Hormuz, sebarang gangguan akan meningkatkan kos bagi ekonomi yang bergantung kepada import di seluruh Asia dan Eropah, katanya.
Beliau berkata justeru, kewangan Islam, dengan penekanan terhadap aktiviti ekonomi sebenar, tujuan sosial dan perkongsian risiko, perlu memberikan respons yang positif.
Beliau berkata agenda ICM SC terus berpandukan maqasid syariah yang menekankan keadilan, perlindungan kepada golongan rentan, menggalakkan kebaikan dan menghindari kemudaratan.
“Ini bukanlah rangka kerja untuk pematuhan. Ia adalah seruan kepada tujuan,” katanya.
Mohammad Faiz berkata mengikut Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030, ICM Malaysia akan beralih daripada kepimpinan berpusatkan produk kepada kepimpinan dipacu etika, dengan matlamat untuk menjadi tumpuan rujukan global bagi kewangan yang telus dan berteraskan tujuan.
Beliau berkata industri juga perlu mengatasi cabaran mendesak lain seperti ketidaksamaan pendapatan dan keterjaminan pascapersaraan serta kesan perubahan iklim yang semakin meningkat, di samping berpandangan ke hadapan terhadap pembangunan pasaran modal Malaysia jangka masa panjang sehingga 2040.
“Ini melibatkan peluasan akses kepada segmen kumpulan modal, penerbit dan segmen pelabur baharu.
“Perkara ini juga merangkumi pengukuhan kedudukan pasaran modal kita melalui penyenaraian syarikat asing dan Dana Dagangan Bursa (ETF) yang berfokuskan serantau, di samping terus mengutamakan tadbir urus yang baik merentas segmen Islam dan konvensional,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial