MELAKA, 23 April (Bernama) -- Hasrat Sabah FC mencatatkan satu lagi kemenangan selepas menjulang Piala Cabaran empat hari lepas tidak kesampaian, apabila tewas 0-1 dalam aksi menentang Melaka FC malam ini.
Gol tunggal perlawanan di Stadium Hang Jebat, Krubong itu dijaringkan Dino Kalesic pada minit ke-68 selepas kedua pasukan cuba menguasai perlawanan sejak awal perlawanan.
Buat Melaka FC, kemenangan itu amat bermakna ketika aksi Liga Super berbaki empat perlawanan lagi bagi mengelakkan pasukan terus menduduki dua anak tangga tercorot.
Kemenangan tipis itu membantu skuad bimbingan jurulatih E. Elavarasan berada pada tangga ke-10, mengambil kedudukan Sabah yang turun ke tangga ke-11 ekoran kekalahan tersebut.
Pada aksi tersebut kedua-dua pasukan dilihat selesa menggunakan corak permainan berhati-hati.
Bagaimanapun Sabah mencemaskan tuan rumah apabila pemainnya Ernesto Amantegui pada minit ke-10 melakukan rembatan, namun tersasar.
Pelawat terus menguasai apabila penyerangnya Chris Marlon melakukan cubaan, namun hampa apabila rembatan kencangnya ditepis keluar penjaga gol Melaka FC Samuel Jacob pada minit ke-33.
Menuju akhir perlawanan, anak didik jurulatih Elavarasan dilihat lebih banyak bertahan dengan serangan bertali arus dipamerkan Sabah FC yang cuba mencari gol.
Namun pada minit ke-58 tuan rumah hampir-hampir memecah kebuntuan jaringan gol namun sepakan pemain importnya Dino Kalesic sekadar ke dakapan penjaga gol Melaka Damien Chien Khai Lim.
Sabah juga turut hampa apabila sepakan kencang pemain gantian Fergus Tierney sekadar melewati tiang gol sebelah kanan, pada ketika penjaga gol Melaka FC sudah tertewas pada minit ke-65.
Sabah terus mengandakan asakan untuk mencari gol penyamaan, namun hampa hingga ke wisel penamat dengan keputusan 1-0.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial