SHAH ALAM, 24 April (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menggesa umat Islam memahami kepentingan menunaikan zakat melalui saluran sah dan pengagihan secara telus kepada golongan asnaf yang berhak menerimanya.
Menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin bertitah setiap negeri mempunyai sistem pungutan dan agihan tersendiri bagi memastikan kebajikan asnaf diurus dengan teratur.
Justeru, mana-mana pihak luar tidak sepatutnya melangkaui sempadan negeri untuk membuat kutipan zakat tanpa kebenaran pihak berkuasa negeri lain.
“Sultan Selangor menyeru rakyat Selangor memahami dan menghayati inti pati khutbah Jumaat disampaikan oleh khatib di masjid seluruh negeri hari ini bertajuk Tunaikan Zakat Kepada Amil Bertauliah.
“Baginda mahu kita mengambil iktibar dan menginsafi bahawa zakat merupakan ibadah yang melibatkan harta serta mempunyai peranan besar dalam membantu golongan asnaf dan memakmurkan ekonomi umat Islam,” menurut hantaran itu.
Di Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dengan perkenan Sultan Sharafuddin telah mewakilkan Lembaga Zakat Selangor untuk menguruskan segala hal berkaitan kutipan dan agihan zakat.
Menerusi hantaran itu, Sultan Sharafuddin turut mengingatkan zakat yang dikutip dalam sebuah negeri hendaklah diagihkan kepada asnaf dalam negeri tersebut dan umat Islam mempunyai peranan besar mempertahankan hak asnaf daripada dicuri pihak tidak bertanggungjawab.
“Jangan berdiam diri dan menyembunyikan perkara salah yang berlaku, bimbang kita tergolong dalam golongan yang membantu kemungkaran kerana menzalimi dan menafikan hak asnaf.
“Umat Islam perlu memahami bukan sahaja zakat, bahkan apa-apa bentuk kutipan dana awam yang melibatkan kepentingan umat Islam di Selangor hendaklah mendapat kebenaran pihak berautoriti,” menurut hantaran itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial