PADANG RENGAS, 24 April (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyeru agar masyarakat terus mempercayai institusi zakat serta memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana zakat, yang tular kebelakangan ini.
Ketua Pengarahnya Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata pihaknya mengambil maklum laporan yang tersebar sejak beberapa hari lepas, serta menegaskan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri tidak terlibat dalam isu berkenaan.
"Majlis Agama Islam Negeri-Negeri yang diberi tanggungjawab mengurus kutipan zakat tidak terlibat dalam isu berkenaan, sebaliknya ia dipercayai melibatkan pihak ketiga yang menyalahgunakan dana.
“Masyarakat perlu terus yakin bahawa agensi agama peringkat negeri melaksanakan amanah dengan mematuhi segala prosedur dan garis panduan ditetapkan. Sebarang kesimpulan perlu dibuat berdasarkan hasil siasatan rasmi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kampung Angkat MADANI (KAM) dan Sekolah Angkat MADANI (SAM) Jakim 2026, di sini hari ini.
Selain itu, isu pembayaran zakat di luar dari tempat tinggal atau pihak negeri lain yang mengutip zakat di negeri berbeza juga dibincangkan melalui Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).
Sirajuddin berkata pihak muzakarah telah memutuskan perkara itu, serta dibentangkan sehingga ke Majlis Raja-Raja dan telah mendapat perkenan bahawa perkara berkenaan adalah menjadi kesalahan.
"Sekarang di peringkat negeri untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pihak dari negeri yang lain mengutip zakat di negeri mereka.
"Hanya amil yang bertauliah bagi negeri tersebut sahaja yang layak dan bertanggungjawab diberi kuasa untuk mengutip zakat, sama ada zakat fitrah ataupun zakat harta dan sebagainya di negeri berkenaan," katanya.
Sementara itu, mengenai isu pensijilan halal, Sirajuddin berkata tindakan telah diambil oleh pihak berkuasa agama di Melaka terhadap sebuah syarikat produk kopi dan biskut yang ditarik balik sijil halalnya dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
"Kita nak tegaskan bahawa mana-mana produk yang sijil halalnya ditarik balik tidak boleh lagi dipasarkan sebagai halal dan perlu dikeluarkan daripada pasaran," katanya.
Sirajuddin berkata para peniaga dinasihatkan supaya sentiasa menyemak status halal produk yang dijual, manakala pengguna pula digalakkan membuat semakan melalui portal rasmi Jakim atau aplikasi Verify Halal sebelum membuat pembelian.
Mengenai inisiatif KAM dan SAM, Sirajuddin berkata ia bertujuan memperkukuh pembangunan komuniti secara menyeluruh meliputi aspek fizikal, rohani dan sosial, selaras dengan pendekatan Kerajaan MADANI.
Bagi 2026, Kampung Buaya dipilih sebagai KAM, manakala SK Tun Dr Ismail sebagai SAM dengan memperuntukkan masing-masing sebanyak RM500,000 dan RM100,000, dengan kelulusan Kementerian Kewangan.
Selain itu, komuniti setempat turut menerima pelbagai sumbangan termasuk bakul makanan bernilai RM30,000, sumbangan pendidikan oleh Tabung Haji sebanyak RM15,000, bantuan kepada Sekolah Rendah Agama Rakyat Al-Falahiyyah sebanyak RM5,000 serta bantuan operasi kepada Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Nur Hidayah sebanyak RM5,000.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial