GEORGE TOWN, 26 April (Bernama) --Hasrat Penang FC untuk menebus kekecewaan selepas kekalahan pada saingan Piala Cabaran minggu lepas tidak kesampaian apabila sekadar terikat tanpa jaringan dengan Sabah FC dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya di sini, hari ini.
Beraksi dalam cuaca panas, kedua-dua pasukan dilihat mempamerkan tempo permainan yang perlahan dan berhati-hati, sekali gus menyaksikan tiada percubaan tepat ke arah pintu gol dihasilkan sepanjang babak pertama, dengan bola lebih banyak berlegar di bahagian tengah padang.
Bagaimanapun, tuan rumah cuba memberi tekanan awal apabila memperoleh peluang pada minit keempat menerusi Tchetche Kipre yang menerima hantaran lintang daripada Omad Musawi, namun rembatan pemain itu tersasar.
Peluang terbuka turut dimiliki pasukan Sabah selang dua minit kemudian tetapi sepakan R.Dinesh dari sebelah kiri gagal membolosi pintu gol Penang FC.
Kedua-dua pasukan terus buntu mencari jaringan sepanjang 45 minit permainan termasuk dua minit masa tambahan apabila setiap peluang yang terhasil gagal disudahkan dengan tepat.
Bersambung babak kedua, skuad Harimau Kumbang kendalian Wan Rohaimi Wan Ismail cuba meningkatkan asakan dan memperoleh sepakan penjuru pada minit ke-47 yang diambil Jose Elmer Porteria, namun percubaan susulan Muhammad Izzat Zikri Izziruddin masih gagal menemui sasaran.
Pada minit ke-60, Penang FC sekali lagi mendapat peluang menerusi sepakan percuma, namun percubaan Omid Musawi mudah diselamatkan penjaga gol Sabah Khairul Fahmi Che Mat.
Enam minit kemundian, Sabah FC hampir membuka jaringan apabila Darren Lok melakukan percubaan, namun tersasar di sebelah kanan pintu gol, disusuli cubaan dari luar kotak penalti oleh Fergus Tierney yang berjaya dihalang Muhammad Izzat.
Kontroversi tercetus pada minit ke-71 apabila pemain Sabah FC, Dame James Ingham dilihat melakukan halangan terhadap Douglas Coutinho dalam kotak penalti, namun pengadil Muhammad Munir Mohd Izam tidak memberikan sepakan penaliti selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).
Permainan semakin sengit di penghujung aksi apabila Sabah FC terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pemain gantian Jafri Chew dilayangkan kad merah susulan kekasaran terhadap Omid Musawi.
Keputusan kekal 0-0 hingga wisel penamat, menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati sekadar berkongsi satu mata.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial