AM

PM Mahu Acara Rasmi Kerajaan Dilaksana Secara Sederhana - Fahmi

29/04/2026 07:31 PM

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua acara rasmi berkaitan kerajaan dilaksanakan secara sederhana, kata Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil.

Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi berkata perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini susulan mesyuarat di Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) semalam.

"Perdana Menteri menegaskan supaya segala acara rasmi, bengkel dan aktiviti-aktiviti besar yang dilaksana oleh kementerian, agensi dan badan-badan berkanun atau syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) harus pada skala sederhana," katanya pada taklimat krisis bekalan global dan sidang media pasca-Mesyuarat Kabinet , di sini hari ini.

Fahmi berkata setiap kementerian telah dimaklumkan oleh Kementerian Kewangan mengenai penyelarasan perbelanjaan operasi bagi memastikan aktiviti dan program yang dilaksanakan selaras dengan hasrat kerajaan.

"Dalam keadaan Malaysia berdepan dengan cabaran akibat krisis bekalan global, panduan telah diberikan dan perincian akan diberikan oleh Ketua-ketua Setiausaha Kementerian bersama dengan Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan," katanya.

Fahmi berkata Perdana Menteri juga mahu supaya Program Kampung Angkat MADANI di bawah kerajaan Persekutuan diselaraskan dengan rapi terutama bersama Ahli Parlimen.

Selain itu, beliau berkata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mencadangkan supaya aktiviti di pusat komuniti desa di bawah kementerian berkenaan diselaraskan dengan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) kendalian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Mengenai isu penggunaan media sosial dalam kalangan remaja, Fahmi berkata Kementerian Komunikasi berhasrat melaksanakan sistem pengesahan identiti pengguna (e-KYC) bagi mengesahkan umur.

Beliau berkata inisiatif itu bertujuan memastikan kanak-kanak di bawah usia 16 tahun tidak memiliki akaun media sosial sendiri, sebaliknya ia diwujudkan serta dipantau oleh ibu bapa.

"Isu yang utama adalah daripada segi kawalan yang boleh diberi kepada ibu bapa. Kita hendak elak anak-anak kecil dari bercakap dengan orang dewasa yang tidak dikenali," katanya.

Semalam, dalam ucapan pada program Temu Anwar dan peluncuran pembinaan bangunan baharu Universiti UCSI di sini, Perdana Menteri berkata cadangan pelaksanaan had umur bagi penggunaan media sosial dalam kalangan remaja perlu dilihat secara menyeluruh dengan penglibatan semua pihak.

Anwar berkata ia penting supaya penggunaannya dapat dikawal dengan lebih berkesan, sekali gus melindungi mereka daripada pengaruh negatif di alam digital.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan