KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke Majlis Konvokesyen ke-29 Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (PSAG) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.
Perarakan masuk Sultan Nazrin ke majlis itu diiringi Peguam Negara yang juga Pengerusi Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar serta barisan ahli lembaga tersebut.
Pada majlis itu, Sultan Nazrin berkenan menyampaikan sijil kepada 326 graduan dan anugerah bagi lulusan terbaik keseluruhan dan terbaik bagi setiap mata pelajaran PSAG.
Anugerah lulusan terbaik keseluruhan diterima Guek Yee Yun yang menerima hadiah wang tunai RM10,000 berserta sijil sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang memperoleh agregat tertinggi dalam peperiksaan itu.
Bagi lulusan terbaik mata pelajaran, Rachel Lo Wun menerima anugerah itu bagi Kertas Am dan Prosedur Jenayah, Tan Xuan Fei (Keterangan), A. Sucndravathy (Amalan Profesional) dan Ariana Ng Chor Yee (Prosedur Sivil) dengan setiap mereka membawa pulang wang tunai RM1,000 serta sijil.
Terdahulu, Mohd Dusuki dalam sembah ucapannya berkata sebanyak 921 calon menduduki PSAG pada tahun lepas dengan 326 calon lulus manakala 20 lagi lulus bersyarat dan 575 gagal.
“Dalam menentukan keputusan peperiksaan, lembaga hanya mempertimbangkan merit dan tidak mengenakan sebarang kuota bagi kelulusan peperiksaan. Keputusan peperiksaan ditentukan secara adil, telus dan profesional,” katanya.
Beliau berkata lembaga turut menambah baik standard peperiksaan dengan melantik penyedia soalan dan pemeriksa dalam kalangan individu berwibawa dan berpengalaman termasuk hakim, pesuruhjaya kehakiman serta pensyarah universiti.
Mohd Dusuki berkata lembaga juga menyemak semula senarai institusi pengajian tinggi dan ijazah undang-undang luar negara yang diiktiraf serta mengiktiraf sembilan institusi baharu berkuat kuasa 1 Jan bagi membolehkan lebih ramai graduan menduduki peperiksaan itu.
Selain itu, beliau berkata garis panduan baharu bagi graduan undang-undang luar negara turut diperkenalkan bermula 1 April untuk memastikan kelayakan yang diperoleh kekal relevan dengan keperluan semasa profesion.
Sejak diperkenalkan pada 1984, jumlah keseluruhan lulusan PSAG setakat ini mencecah 15,681 orang.
Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia berperanan menentukan kelayakan untuk amalan guaman di negara ini serta mengendalikan PSAG bagi calon yang tidak memenuhi syarat sebelum diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial