PUTRAJAYA, 30 April (Bernama) -- Kerangka identiti digital Malaysia mencatat kemajuan penting hari ini apabila 29 organisasi memeterai perkongsian rasmi dengan MyDigital ID, sekali gus memperkukuh usaha negara ke arah ekosistem digital yang selamat dan kebolehoperasian, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MyDigital ID Nik Hisham Nik Ibrahim.
Dalam ucapan alu-aluan di Forum Memperkasakan Akses Dipercayai Merentasi Ekosistem Digital Malaysia dan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) MyDigital ID di sini, beliau berkata inisiatif itu mencerminkan peralihan lebih luas Malaysia ke arah masa depan berteraskan digital yang dibina atas asas kepercayaan, keselamatan dan keterangkuman.
“Ketika Malaysia terus melangkah maju ke arah masa depan yang mengutamakan digital, kita mendapati kita berada di persimpangan penting. Persoalannya bukan sama ada kita perlu beralih ke digital, kerana keputusan itu telah pun dibuat.
“Tetapi ialah bagaimana kita melakukannya dengan cara yang bukan sahaja cekap dan inovatif tetapi juga dipercayai, inklusif dan mampan. Ini kerana pada hari ini, setiap kemudahan digital yang kita perkenalkan turut membawa persoalan baharu mengenai keselamatan, tanggungjawab dan kepercayaan,” katanya.
Nik Hisham berkata kepercayaan digital tidak dibina semata-mata melalui kawalan akses tetapi melalui membentuk penyertaan pengguna, pembelajaran dan keyakinan dalam mengemudi persekitaran digital, selain turut menegaskan MyDigital ID berfungsi sebagai lapisan asas identiti digital yang dipercayai di Malaysia tanpa menyimpan data peribadi dan tidak menggantikan MyKad.
Majlis pemeterian MoU disaksikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan hadir sama Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Majlis pertukaran MoU antara lain melibatkan CyberSecurity Malaysia (CSM) bagi agensi kerajaan persekutuan dan negeri, Yayasan MyKasih untuk ekosistem kebajikan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi pendidikan, SOCAR Mobility Malaysia Sdn Bhd (SOCAR) untuk platform digital dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi pemudah cara teknologi, untuk memperluas penggunaan MyDigital ID merentasi sektor utama.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga MyDigital ID Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin berkata sesuatu sistem tidak menjadi infrastruktur kebangsaan pada saat ia diperkenalkan, tetapi menjadi infrastruktur apabila dipercayai, menjadi kebergantungan dan digunakan tanpa ragu, iaitu hala tuju yang sedang dicapai MyDigital ID.
“Identiti digital dalam maksud yang sebenar, hanya bermakna apabila disepadukan dengan lancar dalam kehidupan harian, selamat, intuitif dan boleh dipercayai. Sepanjang tahun lepas, kami telah menyaksikan kemajuan yang bermakna ke arah laluan ini,” katanya.
Beliau berkata MyDigital ID telah melebihi 11 juta rakyat Malaysia dan angka itu bukan hanya ukuran kejayaan, sebaliknya kebergantungan yang semakin meningkat terhadap platform tersebut kerana kini digunakan merentasi lebih 100 aplikasi yang merangkumi perkhidmatan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan platform swasta.
Raja Nushirwan berkata penggunaan log masuk hampir dua kali ganda, menunjukkan peningkatan sebanyak 98.7 peratus antara separuh kedua tahun lepas dan suku pertama tahun ini, disifatkan sebagai perubahan tingkah laku dan bukan sekadar pertumbuhan dalam angka, yang disokong oleh usaha libat urus di seluruh negara secara berterusan untuk membina kepercayaan dan pemahaman.
Beliau berkata usaha yang dirancang dan dilaksanakan dengan teliti telah melangkaui sistem itu, menerusi lebih 100 libat urus di lapangan untuk bertemu rakyat Malaysia di seluruh negara bagi memberi penjelasan, mendengar pandangan dan jika perlu, mengulangi penerangan kerana walaupun dalam persekitaran digital, kepercayaan kekal bersifat manusiawi.
Beliau berkata dalam perkara yang melibatkan identiti, tahap berwaspada bukan sahaja dijangka tetapi tindakan yang amat wajar kerana kepercayaan bukan sesuatu yang boleh diandaikan sebaliknya perlu diperoleh.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial