BERITA TERGEMPAR   Thomas Cup: China 2 Malaysia 0: Liang Wei Keng-Wang Chang bt Aaron Chia-Soh Wooi Yik 24-22, 21-14 | 
 SUKAN

Tujuh Kelab Liga-M Lengkapkan Dokumentasi Lesen AFC, Kebangsaan - FIB

01/05/2026 05:02 PM

KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Tujuh kelab telah melengkapkan penyerahan dokumen bagi permohonan Lesen Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Kebangsaan setakat tarikh akhir yang telah ditetapkan, iaitu pada 30 April.

Kelab-kelab tersebut adalah Johor Darul Ta’zim (JDT) FC, Selangor FC, Sabah FC, Terengganu FC, Penang FC, Kuching City FC, dan Negeri Sembilan FC.

Pengerusi First Instance Body (FIB) Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata proses penyerahan dokumen bagi beberapa kelab lain telah diterima dan disemak, namun terdapat keperluan lanjutan masa bagi melengkapkan keperluan dokumentasi seperti ditetapkan di bawah kriteria pelesenan.

“Selain daripada itu, pemohon Lesen Kebangsaan ialah Imigresen FC, Kuala Lumpur City FC, Melaka FC, PDRM FC dan Kelantan The Real Warriors FC. Namun begitu, terdapat beberapa kelab telah memohon lanjutan masa bagi melengkapkan dokumentasi pelesenan masing-masing, ” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Bagi permohonan Liga Bolasepak Amatur (AFL) Liga A1 di bawah Lesen Kebangsaan Luar Biasa (Extraordinary), Sheikh Mohd Nasir berkata empat kelab telah memohonnya, iaitu Armed Forces FC, Bunga Raya FC, Kelantan Red Warrior FC dan UM Damansara United FC. 

Katanya bagaimanapun terdapat juga beberapa kelab daripada pemohon Lesen Kebangsaan Luar Biasa memohon lanjutan masa bagi melengkapkan dokumentasi pelesenan.

“Oleh yang demikian, FIB bersetuju untuk menetapkan 14 Mei 2026 sebagai tarikh akhir penyerahan dokumen bagi kitaran 2025-2026 untuk melengkapkan dokumentasi pelesenan bagi kelab yang masih belum lengkap.

“Untuk makluman, DPMM FC ialah kelab asing dari Brunei Darussalam yang mengambil bahagian dalam Liga Malaysia secara jemputan. Sehubungan itu, kelab berkenaan tidak tertakluk kepada keperluan untuk memohon Lesen Kebangsaan memandangkan statusnya sebagai pasukan jemputan,” katanya. 

Beliau berkata Mesyuarat Jawatankuasa FIB untuk keputusan pelesenan akan ditangguhkan kepada 20 Mei ini dan sekiranya terdapat sebarang proses rayuan, Mesyuarat Jawatankuasa Appeal Body (AB) akan diladakan pada 29 Mei. 

Katanya selepas keseluruhan proses penilaian dan rayuan selesai, MFL akan mengemukakan senarai akhir kelab yang telah diberikan Lesen AFC dan Lesen Kebangsaan kepada pihak AFC pada 31 Mei.

“Pihak FIB akan melaksanakan proses penilaian terhadap semua permohonan secara telus dan berlandaskan kriteria pelesenan yang telah ditetapkan.

“Sebarang keputusan berkaitan status pelesenan kelab akan dimaklumkan selepas proses penilaian dan mesyuarat keputusan selesai dilaksanakan,” katanya. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan