AM

Kementerian Luar Kumpul Maklumat Rakyat Malaysia Dalam Flotila Sumud Global Yang Dipintas

01/05/2026 12:56 AM

PUTRAJAYA, 30 April (Bernama) -- Kementerian Luar sedang memantau rapi situasi dan aktif mengumpul maklumat mengenai keadaan serta keselamatan semua rakyat Malaysia yang berada di atas kapal Flotila Sumud Global (GSF), susulan tindakan tentera Israel memintas kapal berkenaan di perairan antarabangsa pada 29 April.

Kementerian itu dalam satu kenyataan pada Khamis berkata laporan awal menunjukkan terdapat 36 petugas Malaysia yang mewakili pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berada di atas kapal flotila berkenaan.

“Individu-individu ini difahami berada di lokasi berbeza dalam armada kemanusiaan itu. Kementerian menganggap keselamatan dan kesejahteraan warganya sebagai keutamaan yang paling mutlak dan sedang menguruskan perkara ini dengan segera.

Ia berkata memandangkan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, kementerian telah mengarahkan misi diplomatik Malaysia di wilayah sekitarnya untuk segera menghubungi rakan sejawat kerajaan masing-masing serta agensi antarabangsa yang berkaitan.

Penyelarasan diplomatik segera ini bertujuan untuk mendapatkan pengesahan rasmi mengenai insiden berkenaan serta menentukan keberadaan tepat dan keadaan petugas NGO Malaysia terbabit, katanya.

“Memandangkan keadaan peristiwa ini yang sentiasa berubah-ubah, kementerian sedang bekerja sepanjang masa untuk mengumpul maklumat perisikan yang sah dari lapangan,” katanya, sambil menambah bahawa pihaknya akan terus menyalurkan maklumat lanjut mengikut perkembangan situasi dan setelah fakta rasmi diperoleh.

Kementerian dalam kenyataan berasingan sebelum ini mengecam sekeras-kerasnya provokasi dan pemintasan haram oleh tentera Israel terhadap kapal kemanusiaan itu yang merupakan pelanggaran nyata terhadap undang-undang maritim antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Ia menuntut pihak tentera menghentikan segera segala bentuk gangguan terhadap misi kemanusiaan itu bagi memastikan penghantaran bantuan yang selamat tanpa halangan, selain menjamin keselamatan semua aktivis antarabangsa yang berada di atas kapal.

"Malaysia menegaskan bahawa GSF adalah inisiatif kemanusiaan aman yang bertujuan menghantar bekalan perubatan penting dan makanan bagi membantu menstabilkan sistem penjagaan kesihatan yang musnah, serta memberikan bantuan kepada penduduk yang menghadapi genosid dan kebuluran di Gaza," menurut kenyataan itu.

Ia turut menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan komuniti antarabangsa untuk mengambil tindakan tegas bagi memastikan rejim Israel bertanggungjawab atas pelanggaran undang-undang antarabangsa yang berterusan.

Malaysia juga mengulangi komitmen tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Terdahulu, dilaporkan bahawa 10 aktivis kemanusiaan Malaysia adalah antara 186 aktivis yang menaiki 22 buah kapal di bawah misi GSF 2.0, yang telah dipintas dan dinaiki oleh tentera Israel ketika dalam pelayaran  ke Gaza.

Menurut Pusat Arahan Sumud Nusantara (SNCC), setakat ini seramai 175 aktivis termasuk 10 rakyat Malaysia yang diculik telah dibawa ke Israel.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan