BERITA TERGEMPAR   Thomas Cup: China 2 Malaysia 0: Liang Wei Keng-Wang Chang bt Aaron Chia-Soh Wooi Yik 24-22, 21-14 | 
 AM

Permohonan Pendaftaran SKDS Kenderaan Pengangkutan Darat Barangan Di Sabah, Sarawak Dan Labuan Dibuka Mulai 4 Mei

01/05/2026 04:31 PM

PUTRAJAYA, 1 Mei (Bernama) -- Permohonan pendaftaran menyertai Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi kenderaan pengangkutan darat barangan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan dibuka bermula 4 Mei ini.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, permohonan untuk mendapatkan manfaat subsidi diesel bagi sektor pengangkutan ini boleh dibuat melalui portal MySubsidi menerusi pautan mysubsidi.kpdn.gov.my, bermula 9 pagi.

Kenderaan yang didaftarkan di bawah SKDS oleh syarikat pengangkutan darat barangan yang berkelayakan boleh memanfaatkan subsidi diesel tertakluk kepada kadar yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Kadar harga subsidi semasa bagi SKDS sektor pengangkutan darat barangan ialah RM2.15 seliter,” menurut kenyataan itu. 

Pada 6 April lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pelaksanaan penyaluran subsidi bahan api diesel bagi sektor pengangkutan darat barangan melalui SKDS akan diperluas ke Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. 

Menurut KPDN, syarat kelayakan pendaftaran SKDS bagi kenderaan pengangkutan darat barangan ialah mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang sah dan aktif, serta berdaftar sebagai kenderaan perdagangan dengan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah atau Sarawak.

Syarat lain, Syarikat/Perniagaan/Koperasi/Perdagangan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pihak berkuasa tempatan (PBT) atau Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM); dan tersenarai dalam 23 kategori kenderaan darat barangan yang diluluskan di bawah SKDS.

Bagi memastikan proses pendaftaran berjalan lancar, KPDN memaklumkan semua syarikat atau entiti perniagaan yang berkelayakan dimohon menyemak kelayakan kenderaan serta syarat-syarat permohonan yang ditetapkan, termasuk membuat pemilihan kategori pendaftaran yang tepat.

Kategori pendaftaran ialah Kategori Syarikat bagi kenderaan perdagangan yang berdaftar di bawah SSM; Kategori Koperasi/PBT bagi kenderaan perdagangan yang berdaftar di bawah SKM atau PBT; dan Kategori Pemilikan Tunggal bagi kenderaan perdagangan yang berdaftar di bawah nombor MyKad Individu dan berdaftar dengan LPKP Sabah atau Sarawak.

Sementara itu, KPDN memaklumkan pembelian diesel bersubsidi bagi sektor pengangkutan darat barangan akan dilaksanakan menggunakan kaedah fleet card. 

Bagi syarikat pengangkutan darat barangan yang telah diluluskan di bawah SKDS, permohonan fleet card perlu dibuat kepada syarikat minyak pilihan dengan mengemukakan surat kelulusan berserta senarai kenderaan yang boleh dicetak melalui sistem SKDS.

Syarikat dibenarkan untuk memilih sehingga maksimum tiga syarikat minyak untuk mengemukakan permohonan fleet card daripada pilihan berikut, iaitu PETRONAS melalui talian 1-300-88-8282 atau pautan: https://www.mymesra.com.my/for-business/smartpay.

Pilihan lain ialah Shell melalui talian: 1-300-22-8181 atau pautan https://www.shell.com.my/business-customers/shell-fuel- card/apply-for-shell-fuel-card.html dan Petron menerusi talian : 1-800-88-8298 manakala pautan : https://www.petronfleetcard.com.my/

“Tempoh pemprosesan dan penghantaran fleet card dianggarkan antara dua hingga tiga minggu bergantung kepada proses dalaman syarikat minyak pilihan masing-masing.

“Pada masa yang sama, tempoh sah laku surat kelulusan SKDS bergantung kepada tempoh sah laku LKM atau cukai jalan kenderaan.

“Sehubungan dengan itu, LKM atau cukai jalan kenderaan hendaklah dikemas kini sebelum 28 hari bulan setiap bulan dan tarikh tamat LKM perlu melangkaui bulan berikutnya bagi memastikan pemohon layak mendapat subsidi bulan berikutnya,” menurut KPDN. 

KPDN menyeru syarikat atau entiti perniagaan sektor pengangkutan darat barangan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan yang layak untuk memohon kemudahan subsidi di bawah SKDS.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan