PUTRAJAYA, 1 Mei (Bernama) -- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan menganjurkan Sambutan Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam (HUTPA) ke-74 pada Selasa dan Rabu ini di ibu pejabat agensi itu di Sungai Merab, Kajang.
APM dalam kenyataan memaklumkan sambutan tahun ini mengangkat tema “APM Nadi Kesiapsiagaan Masa Hadapan”, selaras dengan komitmen berterusan agensi itu dalam memperkasa kesiapsiagaan rakyat dan memperkukuh pengurusan bencana secara menyeluruh.
Majlis perasmian sambutan itu dijadualkan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu.
APM memaklumkan penganjuran sambutan itu menjadi platform penting dalam mempamerkan peranan dan tanggungjawab warga agensi berkenaan dalam melaksanakan tugas menyelamat, bantuan kemanusiaan serta pengurusan bencana.
“Selain itu, program ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat mengenai aspek keselamatan serta kesiapsiagaan bencana, di samping memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu.
APM memaklumkan pelbagai pengisian menarik dan berimpak tinggi dirancang sepanjang penganjuran HUTPA ke-74, melibatkan penyertaan agensi keselamatan, badan bukan kerajaan, institusi pendidikan serta komuniti setempat.
“Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan sambutan ini, di samping mendapatkan pendedahan secara langsung mengenai peranan dan fungsi APM dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial