JENAYAH & MAHKAMAH

MBSP Arah Kelab Malam Di Bertam Ditutup

02/05/2026 12:21 PM

KEPALA BATAS, 2 Mei (Bernama) -- Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mengarahkan sebuah premis kelab malam di Bandar Setia Utara Fontaines, Bertam di sini ditutup kerana tidak mematuhi peraturan lesen ditetapkan.

Datuk Bandar MBSP Datuk Baderul Amin Abdul Hamid berkata tindakan itu diambil selepas pihaknya menjalankan pemantauan dan pemeriksaan di premis itu sebanyak tiga kali dari 23 hingga 29 April.

“Pemeriksaan mendapati premis itu gagal mematuhi perkara seperti menjual minuman keras dan mempamer papan iklan tanpa lesen serta meletak meja dan kerusi tambahan tanpa permit.

“Selain itu, pemeriksaan lanjut mendapati premis itu mempunyai binaan tanpa kebenaran dan kelulusan MBSP,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Baderul Amin berkata MBSP telah mengarahkan pemilik premis untuk memberi penjelasan dalam tempoh tujuh hari berhubung perkara tersebut.

Sekiranya pemilik premis gagal mengemukakan maklum balas dalam tempoh ditetapkan atau penjelasan dikemukakan tidak munasabah, beliau berkata lesen premis dan iklan akan dibatalkan.

Terdahulu, tular di media sosial aduan awam membantah operasi kelab malam itu kerana didakwa dibuka sehingga awal pagi selain terletak di sebelah pusat pengajian dan asrama perempuan tahfiz serta pusat jagaan orang tua.

Pengoperasian kelab malam itu menyebabkan orang ramai dan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kepala Batas mengadakan perhimpunan di hadapan premis tersebut meminta ia ditutup sepenuhnya.

Selain beroperasi hingga awal pagi, mereka mendakwa juga menerima aduan terdapat pengunjung mabuk dan botol minuman keras dibuang merata-rata di kawasan tersebut. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan