BERITA TERGEMPAR   Over RM15 billion in financing support provided to micro, small and medium enterprises this year - MoF | 
 EKONOMI

ADB Lancar Kemudahan Pembiayaan Bagi Bantu Rantaian Bekalan Mineral Kritikal Di Asia

03/05/2026 06:00 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Bank Pembangunan Asia (ADB) hari ini melancarkan kemudahan pembiayaan baharu bagi membantu negara-negara di Asia dan Pasifik membangunkan rantaian bekalan mineral kritikal yang diperlukan bagi tenaga bersih, bateri, kenderaan elektrik dan teknologi digital. 

Menurut ADB, Kemudahan Perkongsian Pembiayaan Mineral ke Pembuatan Kritikal itu bertujuan memacu rantau ini melangkaui perlombongan dan ke arah industri bernilai tinggi seperti pemprosesan, pembuatan dan kitar semula. 

“Kemudahan ini akan membantu menyediakan projek, memperbaharui dasar dan menyokong pelaburan awam serta pembiayaan swasta merentasi rantaian nilai mineral kritikal,” katanya. 

Selain itu, menurut ADB, kemudahan itu terbahagi kepada dua komponen iaitu tempoh permohonan geran dan tempoh kewangan pemangkin. 

ADB menjelaskan, tempoh permohonan geran akan membiayai kerja projek awal, termasuk kajian kebolehlaksanaan, penilaian alam sekitar dan sosial, bantuan teknikal serta perkongsian pengetahuan. 

“Kerajaan Jepun telah bersetuju memperuntukkan sebanyak US$20 juta kepada tempoh permohonan geran, manakalan kerajaan United Kingdom menyatakan komitmen sebanyak US$1.6 juta,” katanya. 

Sementara itu, tempoh kewangan pemangkin pula direka untuk menggerakkan pembiayaan bersama dan perkongsian risiko daripada rakan pembiayaan lain. 

Korea Eximbank dan Korean Trade Insurance Corporation, yang dikenali sebagai K-SURE, masing-masing telah menandatangani memorandum persefahaman bernilai US$500 juta sebagai rakan kongsi pertama kemudahan tersebut. 

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan