AM

YSIJ Sumbang Keperluan Asas, Peralatan Elektrik Kepada 24 Keluarga Mangsa Ribut

05/05/2026 05:45 PM

JOHOR BAHRU, 5 Mei (Bernama) --Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) menyalurkan sumbangan barangan keperluan asas dan peralatan elektrik kepada 24 keluarga mangsa ribut di Pontian yang kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Melayu Raya.

Menurut hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, sumbangan berkenaan bertujuan meringankan beban mangsa dengan peralatan elektrik yang disumbangkan seperti periuk nasi dan cerek.

Sumbangan disampaikan oleh Pemegang Amanah Urusan YSIJ Datuk Avinderjit Singh dan Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ Mohd Anizam Jamian kepada Pegawai Daerah Pontian Kamalludin Jamal sebelum disampaikan kepada mangsa.

“YSIJ turut menyumbang bantuan wang tunai sebanyak RM5,000 kepada Madrasah Tahfiz Al-Quran Azizurrahim yang turut terkesan dalam kejadian pada 3 Mei (Ahad) lepas. Datuk Avinderjit dan Mohd Anizam turut meluangkan masa bertanya khabar dan meninjau keadaan mangsa di PPS,” menurut hantaran itu hari ini.

Sementara itu, menerusi hantaran berkenaan, seorang mangsa Muhammad Zurin Mohd Idris berkata bencana itu merupakan mimpi ngeri yang sukar dilupakan dalam sekelip mata dengan ribut dan angin kuat menyebabkan mereka tidak sempat untuk menyelamatkan harta benda, namun bersyukur kerana terselamat.

“Kejadian berlaku amat pantas, ketika itu saya hanya fikir untuk selamatkan isteri dan anak yang baru berusia tiga bulan,” kata Muhammad Zurin.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan