AM

KKR Lancar Buku Garis Panduan Sistem Pengecasan EV

06/05/2026 03:36 PM

SEREMBAN, 6 Mei (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) buat julung kali melancarkan Buku Garis Panduan Reka Bentuk dan Pemasangan Sistem Pengecasan Kenderaan Elektrik (EV) bersempena Persidangan Pegawai Kanan (SOC) Jabatan Kerja Raya (JKR) 2026.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata usaha itu bagi menyokong agenda mobiliti hijau dan dilihat sebagai inisiatif strategik dalam memacu reformasi pintar JKR, selaras dengan dasar kerajaan untuk memperluaskan penggunaan kenderaan elektrik di seluruh negara.

Beliau berkata garis panduan berkenaan adalah pertama seumpamanya di Malaysia dan berfungsi sebagai rujukan komprehensif kepada semua pihak termasuk kontraktor, pereka bentuk, agensi kerajaan, operator stesen minyak serta individu yang ingin memasang kemudahan pengecasan EV.

“Selama ini kita tiada garis panduan khusus berkaitan pemasangan sistem pengecasan EV. Jadi buku ini akan menjadi dokumen yang akan membantu memastikan pemasangan dibuat di lokasi sesuai serta mematuhi aspek keselamatan ditetapkan.

"Inisiatif ini bertujuan mempercepatkan pembangunan infrastruktur pengecasan EV, bukan sahaja di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) lebuh raya, tetapi turut diperluaskan ke jalan Persekutuan, jalan negeri dan jalan bandaran di bawah seliaan JKR,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ahmad Maslan berkata JKR perlu proaktif sebagai pemudah cara dalam pembangunan stesen pengecasan EV khususnya di jalan Persekutuan dan negeri bagi menyokong peralihan penggunaan tenaga lebih lestari.

Beliau berkata kekurangan stesen pengecasan ketika ini dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang membataskan peningkatan penggunaan kenderaan elektrik dalam negara.

"JKR dalam mesyuarat sebelum ini mengesyorkan bukan hanya diletak di lebuh raya dan stesen minyak R&R sahaja tetapi di jalan-jalan Persekutuan dan negeri yang dikendalikan JKR juga perlu ada termasuk jalan bandaran di bawah kelolaan Pihak Berkuasa Tempatan.

"Usaha ini dapat membantu kerajaan dan juga rakyat bagi menggunakan kenderaan elektrik sama ada motosikal, kereta, bas. Sudah tentu stesen pengecas sangat diperlukan...kekurangan stesen pengecas menyebabkan penggunaan kenderaan elektrik dalam negara terencat," katanya. 

Beliau turut memaklumkan bahawa ketika ini kemudahan pengecasan EV lebih tertumpu di lebuh raya yang dikendalikan oleh syarikat konsesi manakala pembangunan di rangkaian jalan lain masih terhad.

Selain pelancaran garis panduan itu, pada SOC 2026 itu turut menyaksikan beberapa peluncuran iaitu produk FlexRevive “Wrap it Right, Flex It Bright; Sistem Aduan Mekanikal Dalam Talian (SAMAT); Malaysia Site Investigation Data Online System (aplikasi MySIDOS) dan Dokumen Teknikal Jalan.

Persidangan edisi ke-24 bertemakan 'Memacu Reformasi Pintar JKR' itu mencerminkan komitmen JKR dalam memperkukuh profesionalisme melalui pendekatan reformasi berasaskan integriti, inovasi dan kecekapan penyampaian dengan menghimpunkan kira-kira 380 pegawai kanan JKR dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan