JENAYAH & MAHKAMAH

1MDB: Balai Seni Negara Sedia Terima Empat Karya Seni

06/05/2026 08:04 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Balai Seni Negara bersedia menerima empat karya seni antarabangsa yang berjaya dibawa pulang, dipercayai berkait dengan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti dimaklumkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Balai Seni Negara dalam kenyataan hari ini memaklumkan proses penyerahan empat lukisan yang dijadualkan diterima minggu hadapan secara berfasa akan dilaksanakan secara teliti bagi memastikan setiap aspek pengendalian dipatuhi dengan sempurna.

“Persiapan rapi turut melibatkan fasiliti penyimpanan dan pemuliharaan, termasuk ruang konservasi khusus yang dilengkapi sistem kawalan suhu dan kelembapan yang stabil.

“Langkah ini penting bagi memastikan karya-karya tersebut berada dalam keadaan optimum serta mematuhi piawaian konservasi yang ditetapkan. Aspek keselamatan juga diberikan keutamaan melalui pelaksanaan kawalan yang ketat bagi menjamin setiap karya sentiasa berada dalam keadaan selamat dan terpelihara,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, Azam berkata pihaknya telah mengenal pasti 12 karya seni yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penyelewengan dana 1MDB untuk dibawa pulang ke Malaysia, dengan empat daripadanya telah berjaya diperoleh semula.

Beliau berkata empat karya seni yang telah dibawa pulang dengan nilai dianggarkan USD198,125 (RM786,556) akan diserahkan kepada Balai Seni Negara dalam masa terdekat.

Empat karya berkenaan ialah L’Ecuyère et les clowns (1961) oleh Pablo Picasso, Montmartre (1934) oleh Maurice Utrillo, Etude pour femme couchée (1948) oleh Balthus dan Composition (1953) oleh Joan Miró.

Sementara itu, Balai Seni Negara memaklumkan pihaknya kekal komited untuk memastikan keseluruhan proses pengendalian, penyimpanan dan pemuliharaan dilaksanakan mengikut amalan terbaik serta standard konservasi antarabangsa.

“Usaha ini adalah selaras dengan tanggungjawab institusi dalam memelihara integriti, nilai sejarah dan kepentingan karya-karya berkenaan untuk rujukan generasi akan datang. 

“Balai Seni Negara akan memaklumkan dari semasa ke semasa perkembangan berkaitan perancangan pameran karya-karya tersebut kepada khalayak umum,” menurut kenyataan itu.

Balai Seni Negara turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada SPRM serta semua pihak yang terlibat atas usaha membawa pulang karya-karya seni tersebut ke tanah air.  

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan